Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua Wanita DAP: Dulu kita lawan, sekarang kita kawan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pertama kali bersidang di Pusat Dagangan Dunia (WTC), DAP menyeru semua pihak dalam kerajaan mengenepikan perbezaan, sebaliknya melihat kepada persamaan bagi membina Malaysia yang lebih baik.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata Konvensyen Kerajaan Perpaduan menjadi sejarah apabila dia buat pertama kali menjejakkan kaki di bangunan yang sinonim dengan Umno itu.

Katanya, jika sebelum ini mereka bersengketa dengan Umno-BN, kali ini kedua-dua pihak berkongsi pentas demi negara.

"Ketepikan perbezaan dan tumpukan pada persamaan. Terima rakyat pelbagai kaum yang lain.

"Ini satu hari dalam sejarah, sangat bermakna dalam sejarah.

"Ini bangunan (WTC) yang baru saya masuk pagi ini. Dulu kita lawan sekarang kita kawan untuk Malaysia yang lebih baik," katanya ketika berucap pada Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan hari ini.

Konvensyen tersebut pertama kali diadakan selepas PH membentuk kerjasama dengan BN, GPS, parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain lagi bagi membentuk kerajaan persekutuan.

Ia antara lain untuk memumpuk perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli politik yang menjadi tunjang kepada kerajaan.

Fadhlina Sidek

Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek menggesa perwakilan yang hadir untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat supaya mereka memahami matlamat kerajaan.

Katanya, ia penting supaya masyarakat memahami agenda kerajaan dan bagi mencapai kejayaan dalam PRN di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Wanita Warisan Norfaizah Chua pula membangkitkan kepentingan untuk memberi tumpuan kepada Sabah.

"Ia adalah menjadi impian setiap rakyat Sabah yang mahukan negeri terus diberi tumpuan dari segi pembangunan supaya tidak terpinggir," katanya.