Skip to main
Logo Malaysiakini

Selesai isu air: K'jaan Kelantan perlu sahut hasrat Anwar - Abim

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Kelantan digesa segera menyahut seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan, Mohd Syahiran Muhammad berkata pihaknya menyambut baik komitmen ditunjukkan Anwar untuk melaksanakan projek bekalan air yang lengkap kepada rakyat Kelantan.

"Selain bantuan berbentuk suntikan dana, Abim Kelantan menggesa kerajaan persekutuan turut membantu dalam urus tadbir Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang diakui sendiri kelemahannya oleh pemimpin PAS.

"Bekas menteri alam sekitar dan air, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapannya di Parlimen pada 21 Julai 2022 menyatakan kelemahan urus tadbir AKSB yang tidak mampan menjadikan entiti tersebut menghadapi kesukaran dalam memberikan perkhidmatan air terawat kepada rakyat Kelantan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohd Syahiran Muhammad.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Anwar menyatakan hasrat kerajaan untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air bersih yang dihadapi negeri Kelantan sejak berpuluh tahun lalu.

Bagaimanapun, tegasnya usaha tersebut memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri.

Perkara itu sudah dipersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dalam pertemuan dengan pihak istana sebelum ini, maklum Anwar.

“Kelantan ini menghadapi masalah bekalan air bersih agak serius, jadi saya nak mengemukakan cadangan supaya kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kita adakan pertemuan dan kerjasama dengan projek bekalan air yang lengkap dan tepat untuk negeri Kelantan keseluruhannya,” kata perdana menteri ketika menyampaikan ucapan pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, Jumaat lalu.

Sementara itu, Mohd Syahiran berkata lampu hijau diberikan Anwar perlu disambut dengan semangat negara persekutuan serta kesungguhan di pihak kepimpinan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri perlu segera sahut ajakan terbuka perdana menteri di depan ribuan rakyat Kelantan yang hadir ke majlis itu.

"Anwar membuktikan keterbukaan pentadbiran dan menolak bahawa isu keperluan rakyat yang sekian lama itu tidak wajar dijadikan modal politik," katanya.