Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan saran K'jaan Perpaduan belajar dari pengalaman BN

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Shafie Apdal meminta parti gabungan Kerajaan Perpaduan agar belajar daripada pengalaman BN.

Katanya, BN pernah menjadi satu parti dominan yang kuat memimpin negara sehingga disegani, namun sokongan kemudiannya merosot sehingga tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mohd Shafie berkata, ia penting bagi memastikan kerjasama yang dibentuk antara 19 parti dalam Kerajaan Perpaduan akan terus kekal.

"Kita kena belajar dengan pengalaman BN dulu, (menjadi parti) dominan bila kita merdeka. Alhamdulillah meletakkan negara kita sebagai 'new tiger'.

"Ada kekuatannya waktu itu, MCA kuat, MIC kuat, Umno pun kuat. Tapi bagaimana perjalanan pemerintahan itu bukan hanya oleh kerana dominan sehingga menyaksikan MCA, MIC, Gerakan menjadi lemah, selepas itu Umno juga tumbang.

"Perlu perkongsian (pengalaman)," katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Konvensyen turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta dua Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata dalam kerjasama yang terjalin ketika ini tidak boleh wujud perasaan sangsi antara satu sama lain.

Malah katanya, setiap ahli parti gabungan perlu sentiasa membantu dan memberi teguran yang membina.

Sementara, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor ketika berucap pada konvensyen itu menzahirkan sokongan penuh kepada perdana menteri dalam memimpin negara.

GRS juga menyokong usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan dan berharap Sabah tidak dipinggirkan seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kita wajar berbangga (kerana) kita ketepikan perbezeen demi kepentingan rakyat. GRS bertekad untuk terus mempeperkukuhkan gagasan perpaduan.

"GRS amat mengalu-alukan agenda Kerajaan Perpaduan dalam menoktahkan kemiskinan. Menjadi harapakan GRS agar kerajaan mengangkat kebertasamaan ekonomi rakyat," katanya.