Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Tanpa sokongan Zahid, Umno sejarah kita pasti berubah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memuji Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen parti itu kerana bersama-sama membentuk sejarah negara selepas pilihan raya umum ke-15 lalu.

Anwar, yang kembali ke Dewan Merdeka selepas suku abad sejak dipecat daripada Umno sebagai timbalan presidennya pada 1998, menyatakan banyak "serangan" terhadap Zahid sejak dilantik sebagai salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri.

"Zahid kuat diserang termasuk kepada saya. Tapi saya nak beritahu, kalaulah tidak kerana komitmen saudara Zahid selaku presiden Umno dan dukungan ahli-ahli parlimen Umno, sejarah kita tentu berubah.

"Jadi kita harus iktiraf peranan beliau dan Umno," kata Anwar ketika berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Himpunan hari ini menyaksikan kehadiran ribuan perwakilan daripada keempat-empat gabungan politik dan 19 parti yang membentuk kerajaan Madani.

Pada masa sama, Anwar turut mengakui peranan kesemua 148 ahli parlimen yang membentuk kerajaan Madani, khususnya kesediaan mereka untuk mengetepikan saingan lampau.

Dalam keadaan kritikal itu, (dukungan) Premier Sarawak Abang Jo (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi faktor penentunya," kata Anwar.

Kata perdana menteri, tanpa semangat saling memaafkan kerajaan perpaduan tidak akan menjadi kenyataan.

"Sebab itu saya tabik anda semua," kata Anwar

Pada penghujung ucapannya, Anwar berkata isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan bahawa hari ini ulang tahun sambutan Hari Ibu dan dia perlu menyampaikan ucapan berkenaan.

Anwar berseloroh ini petanda di sebalik setiap lelaki yang berkuasa ada wanita yang sama berkuasa yang boleh mengawalnya.