Skip to main
Logo Malaysiakini

Penukaran agama anak: Loh kemuka rayuan di Mahkamah Rayuan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Loh Siew Hong telah membawa kes penukaran agama Islam secara sepihak ke atas tiga anak-anaknya ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Pasukan peguam Loh telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman yang dibuatnya.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah tinggi menolak semakan kehakiman yang dibuat ibu tunggal itu berhubung status agama tiga anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang di bawah hak jagaannya.

Dalam keputusan itu, hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan mereka memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.

Wan Ahmad Farid juga berkata afidavit CEO Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor menunjukkan kanak-kanak itu menunjukkan niat melalui tindakan mereka untuk terus berada dalam Islam walaupun berada di bawah jagaan Loh tahun lepas.

Farid mengambil maklum afidavit Nazim menunjukkan setakat 22 Februari tahun lalu, mereka masih mengamalkan agama Islam dengan menunaikan sembahyang subuh dan salah seorangnya mahu menjadi peguam Syariah.

Dia juga berkata afidavit Loh yang menyangkal kenyataan Nazim hanyalah penafian semata-mata dan wanita itu tidak menafikan pernyataan bahawa anak-anaknya terus mengamalkan agama Islam ketika di bawah jagaannya.

“Jadi, walaupun sijil penukaran agama bukan bukti muktamad, memandangkan sifatnya yang unilateral, ‘kekuatan bukti’ akan menunjukkan bahawa ketiga-tiga anak itu terus menganut agama Islam," dia dilaporkan berkata.

[Baca berita asal]