'Apa salah jika Azalina dedah laporan siasatan pegawai Sivakumar'
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said digesa mendedahkan laporan siasatan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa pegawai Menteri Sumber Manusia V Sivakumar kepada umum.
Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S Subramaniam berkata ini selepas Sivakumar memaklumkan dia telah memecat kakitangannya, termasuk para pegawai yang terbabit siasatan rasuah berhubung kelulusan penggajian pekerja asing.
"Minggu lepas, menteri sendiri mengesahkan telah memecat sekurang-kurangnya dua pegawai yang didakwa terlibat dalam siasatan rasuah ini.
"Ini bermakna, keputusan menteri memecat pegawainya membuktikan ada unsur salahlaku dan rasuah dalam kes ini.
"Jadi, kita meminta Azalina mendedahkan laporan siasatan SPRM kepada umum di sidang parlimen akan datang," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Subramaniam, gesaan untuk mendedahkan laporan siasatan itu bukan perkara baru, kerana Azlina pernah mengeluarkan laporan kesimpulan siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di parlimen baru-baru ini.
"Sekiranya, siasatan seorang hakim mahkamah rayuan boleh didedahkan kepada umum, apa salah dedahkan laporan siasatan pegawai-pegawai menteri," soalnya.
Untuk rekod, pada 9 Mei, Sivakumar (gambar, bawah) mengesahkan lima pegawainya telah dipecat berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa baru-baru ini, yang turut menyaksikan dua daripada mereka ditahan.
Katanya, tindakan berkenaan dilakukan bagi memastikan kementerian dapat terus berfungsi dengan baik.
SPRM pada April lalu menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai