Skip to main
Logo Malaysiakini

Mayat lelaki dalam tangki najis, polis buru suami isteri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan maut dalam sebuah tangki najis dipercayai dibunuh di Kuala Kangsar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki tersebut yang dianggarkan berusia 40-an pada 12.20 tengah malam.

"Hasil siasatan di tempat kejadian telah menjumpai mayat di dalam sebuah tangki najis yang terletak di bahagian belakang sebuah rumah dalam keadaan berkain sarung dan berseluar dalam tanpa baju.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma dipukul objek tumpul di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436," katanya.

- Bernama