Pengetua didakwa arah pelajar tulis surat pujuk 'Cikgu Ponteng'
Seorang bekas pelajar yang menyaman gurunya kerana didakwa ponteng kelas memberi keterangan hari ini bahawa dia dan rakan sekelasnya diarahkan oleh pengetua sekolah untuk menulis surat memujuk guru itu kembali.
Semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Shireen Sikayun, Siti Nafirah Siman, 23, memberitahu Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, pengetua berkenaan memberitahu kelas bahawa surat itu adalah surat aku janji.
"Pengetua cakap ini adalah surat aku janji kamu di mana kamu meminta maaf kepada Cikgu Jainal JJ dan membuat dia masuk ke kelas mengajar semula".
Ketika ditanya peguamnya, Siti Nafirah berkata surat itu tetapi terpaksa ditulisnya di bawah tekanan kerana mereka memerlukan guru Bahasa Inggeris untuk peperiksaan akhir yang bakal tiba ketika itu.
Dalam kenyataan saksinya, Siti Nafirah mendakwa Jainal mula ponteng kelas selepas rakan sekelas Mohd Fauzi Mul dikatakan telah menyebut perkataan atau melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan guru tersebut.
Siti Nafirah percaya keengganan Jainal untuk mengajar di kelasnya merupakan satu bentuk hukuman yang dikenakan oleh guru itu.
Sehubungan itu, pengetua itu juga dikatakan meminta Siti Nafirah dan rakan sekelasnya menulis surat permohonan maaf dan mengakui Jainal berhenti mengajar kelas itu kerana salah laku mereka.
Mereka terpaksa akur dan menulis surat itu kerana takut serta terdesak untuk mendapatkan semula guru bahasa Inggeris itu.
Jainal kembali mengajar dua minggu selepas surat itu ditulis, tetapi hanya seminggu sebelum peperiksaan akhir bermula.
Sementara itu, Siti Nafirah juga memberitahu mahkamah bahawa terdapat bukti ketidakhadiran Jainal dalam bentuk buku kehadiran kelas, yang ditandatangani guru sebelum tamat setiap pengajaran dan digunakan untuk merekod kehadiran mereka.
Dia mendakwa melihat sendiri kandungan buku rekod itu, yang jelas menunjukkan ruangan untuk pelajaran Bahasa Inggeris Jainal hanya ditandatangani dari Januari hingga Februari 2015 dan dibiarkan kosong dari awal Mac hingga seminggu sebelum peperiksaan akhir.
Dia berkata buku itu disimpan oleh pihak sekolah dan permintaannya untuk mendapatkan buku itu melalui peguamnya telah gagal.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam kanan persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim, Siti Nafirah berkata antara kerosakan yang dialaminya dan rakan sekelasnya ialah mereka tidak dapat memperoleh pendidikan yang baik, dan terpaksa memperuntukkan masa di Tingkatan 5 untuk belajar semula sukatan pelajaran Tingkatan 4 yang mereka keciciran.
Dia juga mendakwa berdepan ugutan selepas memfailkan saman sivil terhadap bekas gurunya itu.
Dia berkata ia bermula dengan dua pegawai sekolah cuba memujuknya untuk menarik balik samannya itu. Tidak lama kemudian, sebuah van putih dikatakan muncul di luar rumahnya untuk mengambil gambar di sekitar kawasan itu.
Apabila peguam persekutuan bertanya jika dia telah melaporkan kejadian itu, Siti Nafirah berkata tiada laporan polis dibuat dan sebaliknya dia telah membuat laporan kepada SPRM.
Tiada bukti laporan itu dikemukakan di mahkamah.
Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di SMK Taun Gusi pada 2015. Pada 30 Okt 2018, dia memfailkan saman terhadap gurunya Jaimal kerana dikatakan ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015.
Selain Jainal, dia juga menamakan Suid (atas kapasitinya sebagai pengetua sekolah), SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dia mendakwa defendan pertama (Jainal) telah gagal untuk menghadiri serta mengajar pelajaran Bahasa Inggeris, dan semasa ketiadaannya, defendan kedua (Suid) gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan defendan pertama mengajar pelajar 4PD, kerana mengetahui kegagalan itu akan berlaku.
Ini, katanya mengakibatkan pelajar 4PD tidak bersedia untuk peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta Pendidikan 1996.
Oleh itu, plaintif memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh, dan kelapan telah melanggar kewajipan berkanun mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal memastikan dia telah diajar bahasa Inggeris dari Februari 2015 hingga Oktober 2015 dan dengan itu gagal menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.
Siti Nafirah juga memohon pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh, dan kelapan telah melanggar kewajipan mereka di bawah Peraturan 3C, 25, 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, dan pengisytiharan bahawa tindakan oleh defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh, dan kelapan merupakan salah laku dalam jawatan awam.
Selanjutnya, dia meminta pengisytiharan bahawa defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh, dan kelapan telah melanggar hak perlembagaannya untuk pendidikan yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 12, serta pampasan, kos, dan apa-apa pelepasan lanjut dan perkara lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Siti Nafirah diwakili peguam Shireen, manakala peguam kanan persekutuan Mohd Hafizi mewakili defendan dengan bantuan peguam persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.
Perbicaraan di hadapan hakim mahkamah tinggi Ismail Brahim akan bersambung esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai