Kalimah Allah: Bekas menteri agama tuntut penjelasan KDN
Bekas menteri agama Zulkifli Mohamad menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah.
Zulkifli berkata rayuan yang dibuat ketika dia menjadi menteri agama pada 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan demikian.
"Keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah Sultan Johor dan Sultan Selangor yang menitahkan kerajaan persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan mahkamah tinggi.
"Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para mufti serta jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik," katanya di Facebook, hari ini.
"Saya amat berharap kerajaan madani melalui KDN ada jawapannya. Ini kerana Saifuddin selaku menteri dalam negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini," kata Zulkifli lagi.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menarik balik rayuan dalam kes yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.
Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.
Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.
KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.
Susulan keputusan hari ini, Saifuddin berkata KDN membuat pendirian itu kepada kabinet beberapa bulan lalu dan penjelasan lanjut akan diberikan pada sidang media akan datang.
Sementara itu, Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa) menyatakan kekecewaan berhubung keputusan kerajaan tersebut.
Pengerusinya Lukman Sheriff Alias berkata isu berkenaan melibatkan kepentingan awam yang sangat sensitif dalam masyarakat Malaysia.
"Isu kalimah Allah adalah isu kepentingan awam yang sangat sensitif di kalangan rakyat Malaysia, sama ada Islam dan bukan Islam.
"Oleh itu, satu kejutan dan kekecewaan besar bahawa rayuan itu ditarik balik tanpa sebarang justifikasi.
"Macsa mengecam cara kes itu ditarik balik tanpa sebarang penjelasan," katanya dalam kenyataan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai