Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu azan: Majlis agama tuntut mohon maaf, aktivis terjah sidang media

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyelar penyebaran video berkaitan pertikaian isu azan di sebuah surau di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Yang dipertuanya Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyifatkan perkara itu sebagai “amat mengelirukan, tidak menampakkan kejujuran dan dikeluarkan dengan niat yang amat tidak baik walau apa tujuannya”.

Katanya, pengurusan kondominium itu tidak melarang penggunaan pembesar suara atau azan.

Malah, katanya yang juga exco agama merangkap timbalan ketua menteri 1, isu itu telah selesai.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor

“Terkait dengan hal ini juga, MAINPP menyatakan rasa kesal dengan peranan yang dimainkan oleh seorang TikToker bernama Mohd Sophian Mohd Zain  yang terus membuat video kontroversi yang tular pada 14 Mei 2023 dengan nada menyemai kemarahan umat Islam seluruh negara,” katanya.

Padahal, katanya, perselisihan itu telah diuruskan dengan baik oleh semua pihak, termasuk pentadbir surau dan pengurusan bangunan.

Dalam sidang media di surau itu, Zakiyuddin juga menuntut permohonan maaf terbuka daripada Mohd Sophian, seorang aktivis lantang di Pulau Pinang.

Zakiyuddin juga mahu video yang didakwa menghasut itu dipadam.

“Pihak MAINPP akan mengkaji dan menyemak undang-undang yang berkaitan dalam menangani isu ini jika ada keperluan,” katanya.

Tri Pinnacle, Tanjung Tokong

Sidang media itu diadakan berikutan video tular seorang lelaki yang menuduh jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kondominium itu melarang penggunaan pembesar suara untuk azan.

Mohd Sophian dipercayai orang pertama menyebarkan dakwaan itu di media sosial.

Dakwaan itu bagaimanapun disahkan oleh pengerusi surau itu Muhammad Nasir Abd Majid.

Sementara itu, Sophian turun hadir dalam acara itu dan mencabar Zakiyuddin membuka video itu di hadapan semua wartawan dan membuktikan bahagian mana yang mempunyai unsur fitnah.

Dia berkata akan memohan maaf, jika memang terdapat kenyataannya yang memfitnah.

“Siapa ada video buka sekarang. Buka, buka sekarang.

“Buka, dan saya akan mohon maaf secara terbuka kalau saya buat satu tuduhan fitnah di depan sahibus samahah Datuk Seri mufti kita,” katanya.

Sepanjang sidang media itu, Mohd Sophian dan rakan-rakannya cuba mencelah untuk bertanyakan soalan dan berkongsi sisi pandangan mereka.

Bagaimanapun, Zakiyuddin meminta mereka bertenang dan menunggu giliran untuk bercakap.

Sementara itu, Pengerusi JMB Alex Low memohon maaf kepada semua masyarakat Islam atas isu kontroversi itu.

Dia berkata tidak ada niat di pihak JMB untuk melarang atau tidak membenarkan azan mahupun penggunaan speaker.

“Kami kesal dan kecewa kerana satu pertemuan tertutup telah diviralkan kepada umum,” kata Low.

"Video itu menimbulkan kekeliruan. Kami cuba mengurus dan menyelesaikan isu itu secara baik dengan pasukan pengurusan surau," tambahnya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Nor dan ADUN PKR Kebun Bunga Jason Ong.