Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalimah Allah: Bersatu tuduh k'jaan ingkar titah Raja-Raja Melayu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bersatu menyifatkan keputusan kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah sebagai melanggar titah Raja-Raja Melayu.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata parti itu kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh 'kerajaan madani' pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya, sejak kerajaan perpaduan mentadbir negara beberapa isu yang timbul telah mencuit sensitiviti umat Islam di negara ini.

"Sehubungan dengan itu, Bersatu mendesak agar Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar menyatakan pendirian jelas dan tegas bagi mempertahankan segala usaha atas titah perintah Raja-Raja Melayu (selaku ketua agama Islam di Malaysia).

"(Ini demi) memastikan isu Kalimah Allah, "Baitullah", "Kaabah", solat dan perkara-perkara yang menjadi asas syariat Islam terus dipertahankan di Malaysia sesuai dengan peruntukan perlembagaan dan majoriti rakyatnya beragama Islam.

"Bersatu beranggapan menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mempunyai “hak” untuk membuat keputusan menarik balik rayuan tanpa merujuk kepada raja-raja, majlis agama Islam negeri dan jawatankuasa muzakarah Malaysia yang mempunyai autoriti dalam menentukan perkembangan agama Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KDN dilaporkan telah menarik balik rayuan dalam kes yang membenarkan seorang wanita Kristian Sarawak Jill Ireland menggunakan kalimah Allah.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Dalam pada itu, Razali menyelar kenyataan perdana menteri dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu rayuan kalimah Allah adalah bercelaru.

"Saya berpandangan keputusan KDN dan kenyataan PM adalah bercelaru 'In desperate move' untuk elak Sarawak dan Sabah tarik sokongan pada kerajaan madani sehingga sanggup bakul sampahkan tatakelola dengan membelakangkan Raja-Raja Melayu.

"Dengan keputusan politik tersebut, saya perpendapat PM juga menjangka peroleh sokongan maksimun pengundi bukan Melayu Islam kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya di enam negeri semenanjung tidak lama lagi terutama Pulau Pinang, Selangor dan Pulau Pinang supaya kekal memerintah," katanya lagi.

Semalam, Anwar berkata keputusan menarik balik rayuan itu hanya terpakai kepada Sarawak saja.