Skip to main
Logo Malaysiakini

'Gunung' sampah: Saling tuding jari, penduduk makin sengsara

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Artikel terakhir laporan khas dua bahagian tentang tapak pelupusan haram mega di Kapar ini mengupas sebab musabab pihak berwajib begitu lambat bertindak terhadap aduan penduduk setempat yang kini berdepan masalah kesihatan diakibatkan oleh asap pembakaran di tapak itu.

Kawasan ini begitu indah dengan langit yang membiru dan alam semula jadi menghijau sejauh mata memandang.

Selain dengungan perlahan daripada pilon rangkaian grid nasional berhampiran, tiada bunyi lain yang kedengaran. Namun suasana itu tidak menjanjikan kedamaian.

Bau plastik terbakar memenuhi ruang udara, sementara tanah yang dipijak pula adalah sisa plastik dan getah hancur yang ditambun mampat hingga membentuk bukit setinggi kira-kira 10 meter, meliputi kawasan seluas dua hingga 3.2 hektar di timur ladang ternakan ayam Lay Hong Feedmill dan depoh kenderaan berat dan jentera, di sini.

Di pinggir kawasan pembuangan sampah itu, beberapa timbunan sampah sedang membara, mengeluarkan asap dan entah apa lagi.

“Ambil nafas, rasa tak sedap. Kita duduk kampung - pokok banyak, tapi tak nyaman. Memang rasa sangat bahaya,” ujar Mohd Masrobi Zakaria, penduduk Kampung Sungai Serdang yang terletak berhampiran tapak itu, sambil batuk-batuk.

Menurut lelaki itu, selepas penyakit asma yang dihidapi oleh anak lelakinya semakin teruk selain aduan penduduk tentang masalah pernafasan yang dialami mereka, terbongkarlah kewujudan tapak pelupusan haram mega tersebut pada awal tahun ini.

Katanya, walaupun kegiatan membuang sampah secara haram di situ sudah berlaku sejak 2017, skalanya kecil, tidak seperti sekarang dengan pakar menganggarkan berat sampah terkumpul di situ sekitar 30,000 hingga 50,000 tan.

Untuk membersihkan sisa terbabit pastinya sukar. Lebih penting lagi, bagaimana “gunung” sampah terbabit akan dibersihkan dan siapa yang akan membersihkannya?

Isu ini menjadi penghalang kepada semua pihak terlibat. Masing-masing menuding jari dengan penduduk menuntut pihak berwajib membersihkan sampah terbabit, pihak berkuasa yang baru sedar tidak mudah untuk mereka membersihkan kawasan itu, serta pemilik tanah yang menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana membiarkan masalah tersebut berpanjangan.

Seksyen 22, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan “melainkan jika dilesen, tiada seseorang boleh mengeluarkan atau melepaskan apa-apa benda berbahaya kepada alam sekeliling, pencemar atau buangan ke dalam udara dengan melanggar syarat-syarat yang boleh diterima, yang ditentukan di bawah Seksyen 21.”

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman memberitahu Bernama, sesiapa yang didapati bersalah melakukan pencemaran boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau hingga lima tahun penjara.

Mereka juga boleh dikenakan denda seterusnya sebanyak RM1,000 sehari jika kesalahan terus dilakukan selepas pemberitahuan pemberhatian dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) seharusnya segera mengeluarkan notis kepada pemilik/mereka yang menduduki tanah berkenaan agar menghentikan pencemaran dan melakukan kerja pembersihan,” katanya dalam kenyataan.

Cakap memang mudah

Tanah yang dijadikan tapak pelupusan itu merangkumi tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tanah kerajaan negeri. Justeru, tanggungjawab membersihkan tapak berkenaan dipikul oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK). Dalam satu kenyataan, TNB berkata ia akan meningkatkan pemantauan di tapak berkenaan melalui kamera dan dron serta membina penghalang bagi mencegah pencerobohan.

Bagaimanapun, kebanyakan sampah terbabit terletak di atas tanah yang dimiliki oleh dua syarikat swasta - Kekal Sejati Venture dan Blossom Aspect Sdn Bhd.

Ketika laporan ini ditulis, Bernama masih gagal mengesan pemilik Blossom Aspect - disenaraikan sebagai syarikat tidak aktif - namun berjaya menghubungi Tan Tiam, pemilik Kekal Sejati Venture.

Dalam bahasa Melayu yang tersekat-sekat, Tan memberitahu Bernama bahawa beliau tidak berhasrat membersihkan kawasan itu, dan sebaliknya menyalahkan PBT kerana membiarkan masalah pembuangan sampah secara haram di atas tanahnya menjadi semakin teruk.

“Apa mahu denda, bukan saya yang buang ” katanya.

“Jadi saya biar saja. Apa boleh buat? Saya bersih itupun tak boleh buat apa-apa, itu tanahpun sudah rosak.”

Tambah beliau lagi, kos membersihkan tanah itu juga adalah lebih tinggi berbanding nilai tanah berkenaan.

Laporan penduduk tak berjawab

Sebenarnya tanggungjawab membersihkan tanah itu terletak di bahu pemilik. Dalam pada itu, bukan Tan sahaja yang membuat aduan tentang kegiatan pelupusan sampah haram tersebut. TNB juga ada membuat aduan. Selama bertahun-tahun penduduk di Kampung Sungai Serdang, Kampung Tok Muda, Kampung Tambak Jawa dan Jalan Suara - berjumlah kira-kira 7,000 orang - menghubungi MPK, JAS Selangor serta Pejabat Tanah dan Daerah.

“Memang dah lama. Memang ramai orang dah bising, jadi kita buat laporan ‘online’ tapi memang tak ada respons,” kata Ketua Kampung Kampung Sungai Serdang Mohd Rizan Poniran.

Penduduk yang asyik ditolak dari satu agensi ke satu agensi lain, berkata banyak jabatan yang tahu tentang aduan mereka namun masing-masing tidak memberitahu pihak yang lain. Jika ada tindakan yang diambil, langkah dilaksanakan secara bersendirian tanpa memaklumkan jabatan lain.

Contohnya, Pejabat Tanah dan Galian Daerah Klang mengeluarkan notis kepada pemilik agar membersihkan tapak itu pada awal tahun ini. Bagi MPK pula, ia meninjau kawasan itu sebanyak dua kali dalam tempoh Januari hingga 20 April tahun ini, namun tidak ada sebarang sitaan dilakukan. Pada 2021, MPK menghentikan dan menyita enam buah lori yang membawa sisa ke tapak itu. Tidak ada kenderaan disita pada 2022 menerusi tujuh rondaan dan pemantauan yang dijalankan di kawasan tersebut dalam tempoh Februari hingga Julai tahun berkenaan.

Tambah menyulitkan lagi isu ialah kampung yang terjejas terletak di luar daerah Klang. Secara teknikal, kampung-kampung berkenaan berada dalam daerah Kuala Selangor. Justeru, apabila aduan dibuat kepada pihak berkuasa di Klang, aduan mereka selalunya tidak dilayan. Apabila diadukan kepada pihak berkuasa di Kuala Selangor pula, penduduk diberitahu tapak pelupusan itu di luar bidang kuasa mereka.

Apabila Bernama menghubungi pihak berkuasa di pelbagai peringkat dalam kerajaan, kebanyakannya menyatakan mereka tidak tahu tentang tapak pelupusan haram itu. Sesetengahnya menyangkakan tapak itu tapak yang lain, sementara sesetengah lagi ingat hal itu di bawah tanggungjawab pihak lain. Ada juga yang tidak memberi sebarang maklum balas.

Aktivis dan pakar alam sekitar berkata perkara itu adalah isu yang berlanjutan sejak sekian lama apabila berkaitan perlindungan alam sekitar.

Penasihat Perundangan SAM Theiva Lingam tidak terperanjat apabila dimaklumkan tentang kekeliruan yang wujud antara jabatan, namun beliau berpendapat tidak ada niat jahat di sebalik hal itu.

“Kenapa aduan tidak sampai kepada orang yang sepatutnya? Adakah mereka tidak diendahkan atau (jabatan) tidak ada keupayaan untuk menangani aduan?” soalnya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setiap agensi dan pihak berkuasa perlu duduk berbincang dan bekerjasama menyelesaikan isu itu.

“Dalam semua pendekatan kerajaan, kita tidak boleh bekerja bersendirian, kerana tidak ada siapapun yang selamat sehinggalah semua orang selamat. Jadi dalam hal ini, saya tidak nampak sebab mereka (tidak boleh bekerjasama). Apatah lagi mereka di bawah kerajaan negeri yang sama,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali pula memberitahu Bernama beliau bercadang melawat tapak itu hari ini (17 Mei)) bersama-sama pegawai MPK dan agensi lain. Sementara itu, Dr Dzulkefly yang kini berada di luar negara, akan diwakili oleh Pegawai Tugas-tugas Khasnya B Sivabalan.

Dr Halimah yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari 2008 hingga 2014, berkata terdapat budaya “lepas tangan” di Malaysia yang perlu dihentikan. Tambah beliau, ada keperluan untuk dijalankan siasatan bagi mengenal pasti siapa pelaku sebenar.

'Babitkan samseng'

“Ini bukan tapak pelupusan haram pertama yang perlu Selangor tangani, kerana memang sentiasa ada pihak tertentu yang melakukan kegiatan sebegini kerana sampah yang dibuang itu bukan sampah biasa (isi rumah),” katanya.

Penduduk, aktivis dan Tan mendakwa ada pembabitan samseng di tapak pelupusan haram itu. Faktor tersebut antara punca Tan bermati-matian enggan bertanggungjawab membersihkan kawasan berkenaan. Katanya, beliau telah cuba mempertahankan tanah itu seperti yang dituntut oleh undang-undang dan cuba menghentikan kegiatan tersebut, namun beliau tidak diberikan sebarang bantuan oleh pihak berwajib.

Menurutnya, selepas menyedari tentang kewujudan tapak itu pada 2020, beliau membuat laporan polis. Beliau juga memohon bantuan JAS untuk menghentikan kegiatan haram di atas tanahnya itu, namun diberitahu beliau bertanggungjawab menjaga dan membersihkan tanahnya.

Tambahnya, beliau hanya berputus asa selepas beberapa kali berusaha menghalang kegiatan itu.

“Masuk itu tempat pun bahaya. Gengster cari ke, kita punya takut loh. Saya pekerja ada masuk, masuk ambik gambar kasi saya tengok. Itu (gengster) kasi cakap sama saya, jangan pergi mari. Kasi ‘warning’. Lepas tu, saya tak pergi tengok,” katanya.

Memandangkan sebahagian besar sampah berada di atas tanah milik persendirian dan pemiliknya enggan bertindak, maka agak sukar untuk kawasan itu dibersihkan. Sekiranya Tan berkeras, PBT dan kerajaan negeri harus melengkapkan proses sebelum boleh masuk dan membersihkan kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor Ng Sze Han memberitahu Bernama bahawa majlis perbandaran akan terlebih dahulu mengeluarkan notis kepada pemilik agar mematuhi syarat yang ditetapkan dalam geran tanah - dalam kes ini tanah itu diperuntukkan sebagai tanah pertanian.

“Jika tuan tanah gagal mematuhi notis itu dalam tempoh yang diberikan, Notis 8A (Seksyen 130 Kanun Tanah Negara) boleh dikeluarkan dan pihak berkuasa tempatan boleh menyita tanah itu,” jelasnya menerusi aplikasi WhatsApp.

Tan tidak berganjak. “Tak apalah. Kalau dia mau (ambil tanah), kasi dialah,” katanya.

Keseluruhan proses ini mungkin mengambil masa berbulan jika tidak bertahun. Dalam tempoh sama, pakar berkata amat penting akses ke kawasan itu ditutup bagi mengelakkan masalah bertambah besar.

Di pihak penduduk pula, Theiva menyarankan mereka menyaman pemilik tanah kerana enggan membersihkan tapak tersebut yang menjejaskan kesihatan mereka.

Akan tetapi, bagi penduduk yang telah sekian lama menghela udara beracun, langkah itu tidak ada sebarang makna kerana isu pokok tidak diselesaikan.

“Saya cuma tak nak ada ‘pollution’ di kampung saya, dan tak nak sakit lagi,” kata Rohkim@Rahim Iska, Pengerusi Persatuan Penduduk Sungai Serdang.

- Bernama