Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Selepas 50 tahun, baru saya dituduh sebagai komunis

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saya berada di Seremban semalam di majlis pelancaran oleh menteri pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, untuk menamakan semula Jalan Temiang di Seremban kepada Jalan Dr Chen Man Hin. 

Saya berusia 25 tahun dan Dr Chen berusia 42 tahun ketika DAP didaftarkan 57 tahun yang lepas pada tahun 1966.

Dan kami memulakan perjalanan untuk mengejar Impian Malaysia DAP–semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, bersatu padu untuk membuktikan kepada dunia yang sebuah negara dunia ketiga mampu mengamalkan demokrasi berparlimen, mempertahankan kedaulatan undang-undang, dan prinsip tadbir urus yang baik untuk menjadi sebuah negara yang progresif dan makmur dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia. 

Saya merupakan editor kepada penerbitan DAP, Rocket, dan saya masih ingat lagi pada tahun 1966, Chen Man Hin, bertarung dengan individu yang kemudiannya menjadi perdana menteri sebanyak dua kali selama 24 tahun, atau 40 peratus dari sejarah Malaysia sejak kemerdekaan, dan saya menerbitkan penulisan-penulisan mereka dalam Rocket pada tahun 1966. 

Chen, walaupun dilahirkan di China, menjadi seorang tokoh rakyat Malaysia, yang berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama mereka, sama ada dalam bidang perubatan mahupun dalam politik.Dia memulakan Impian Malaysia untuk mencapai perpaduan dan matlamat Malaysia, manakala pihak lawannya pula menjadi seorang pejuang Melayu yang akhirnya kehilangan deposit dalam pilihan raya umum ke-15. 

Chen menasihatkan saya untuk tidak kembali ke Kuala Lumpur ketika saya tersekat dalam perjalanan di Singapura selama tiga hari selepas rusuhan 13 Mei 1969 antara 15 hingga 17 Mei 1969 kerana saya berada dalam senarai hitam ISA dan akan ditahan. 

Saya berada di Kota Kinabalu semasa rusuhan Mei 13 1969 terjadi di Kuala Lumpur. Saya sedang bercakap dalam satu perhimpunan awam di Kota Kinabalu apabila ada seseorang memberitahu dari bahagian belakang pentas yang telah berlakunya rusuhan di Kuala Lumpur. 

Pada pagi 14 Mei, saya diharamkan dari Sabah bukan kerana rusuhan 13 Mei 1969, sebaliknya kerana ucapan perhimpunan awam saya pada malam sebelumnya menyerang Ketua Menteri Sabah, Datu Mustapha Datu Harun, mengenai dakwaan pembaziran dan salah guna kuasanya. 

Ada yang mahu “menamatkan saya” 

Saya terlepas penerbangan jam tiga petang dari Kota Kinabalu pada 14 Mei 1969 kerana saya terlewat. 

Dan saya bernasib baik kerana terlepas penerbangan ini memandangkan ada sekumpulan orang Bajau datang ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu untuk “menamatkan saya” kerana serangan saya terhadap Mustapha tetapi mereka dihalau oleh Cawangan Khas. 

Saya ambil penerbangan pukul tiga petang dari Kota Kinabalu pada 15 Mei, tetapi kerana perintah berkurung dikenakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, saya tersekat di Singapura selama tiga hari. 

Dalam tiga hari ini, saya sering berhubung dengan para pemimpin parti dan ahli keluarga dan mereka semua menasihati saya, termasuklah Chen, untuk tidak kembali memandangkan saya berada dalam “senarai hitam” Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akan ditahan sejurus pulang. 

Saya merasakan sebaliknya memandangkan saya berasa yang perlu pulang untuk bersama dengan rakyat yang baru saja memilih saya sebagai anggota parlimen Bandar Melaka untuk berkongsi masalah yang dihadapi mereka. 

Perkara inilah yang saya lakukan pada 18 Mei 1969, melawan nasihat dari Dr. Chen dan para pemimpin parti yang lain, dan juga nasihat dari ahli-ahli keluarga sendiri, saya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan memulakan penahanan pertama saya bawah ISA. 

Saya perlu berterima kasih kepada bekas ketua polis negara, Hanif Omar, kerana mendapatkan dokumen kenyataan yang dibuat saya kepada pihak polis semasa berada dalam tahanan lokap balai polis Kuala Selangor bawah ISA ketika saya menyamannya untuk fitnah. 

Dokumen berusia 54 tahun ini menyatakan komitmen saya terhadap Impian Malaysia untuk menyatukan sebuah negara berbilang etnik, bahasa, agama, dan budaya dengan memberikan semua rakyat Malaysia taruhan yang sama bawah mentari Malaysia dan mengapa komunisme adalah penyelesaian yang tidak sesuai untuk masalah di Malaysia. 

Namun, saya tetap menjadi mangsa politik penipuan, fitnah, dan berita palsu, dan saya telah dituduh sebagai seorang komunis dalam lima tahun yang lepas walaupun untuk 50 tahun sebelum itu, tidak ada sesiapa pun yang membuat tuduhan seperti itu. 

Sama seperti apabila saya dituduh mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 sedangkan tidak ada sesiapa pun menuduh saya berbuat demikian dalam empat dekad selepas 1969. 

Namun, penipuan, fitnah, dan berita palsu ini semuanya tidak dapat dibuktikan kerana ia hanyalah penipuan, fitnah, dan berita palsu semata-mata, yang patutnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan mana-mana pemimpin politik yang jujur, bertanggungjawab, dan dihormati. 

Surat buat Tunku

Malah, semasa saya ditahan di Muar, saya menulis sepucuk surat kepada perdana menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, pada 4 Ogos 1969.

Saya mengatakan:

"Keputusan pilihan raya umum 10 Mei adalah halangan bagi Parti Perikatan. Tetapi perkara ini merupakan satu tamparan yang lebih hebat kepada PKM (Parti Komunis Malaya).

“Semasa kempen pilihan raya umum, PKM dan jentera-jentera partinya telah berkempen supaya rakyat memboikot pilihan raya untuk merendahkan keyakinan kepada demokrasi berparlimen dan mempersiapkan latar belakang politik untuk memulakan pemberontakan bersenjata keduanya.

“Rakyat umum telah menolak apa yang dibawa oleh PKM ini dan keluar mengundi beramai-ramai. Perkara ini membuktikan bahawa rakyat masih percaya dalam proses demokrasi untuk membawa perubahan secara aman yang mereka mahukan. 

“10 Mei menunjukkan pilihan rakyat untuk demokrasi, menolak kempen PKM. Terdapat kegembiraan selepas pilihan raya ini, bukan untuk menghalang sesiapa daripada mendapat haknya, tetapi untuk berusaha membentuk sebuah masyarakat yang lebih adil dan saksama.

“Namun, kejadian 13 Mei dan kejadian-kejadian selepasnya telah merendahkan keyakinan rakyat kepada demokrasi”.

Tetapi, saya masih menjadi mangsa dituduh sebagai komunis, malah dituduh juga sebagai menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969.

Penamaan jalan sempena Chen Man Hin ini memang bertepatan. 

Chen mengimpikan Impian Malaysia dan Malaysia hanya boleh berjaya sekiranya semua rakyat Malaysia mengimpikan Impian Malaysia, bukannya Impian Melayu, Impian Cina, Impian India, Impian Kadazan, atau Impian Dayak. 

Keadilan, kebebasan, kesaksamaan, dan kemajuan perlulah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia terjunam ke arah menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik. 

Chen berjuang demi semua rakyat Malaysia selama lima dekad tanpa meminta apa-apa balasan untuk dirinya sendiri. 

Sebagai anggota parlimen Seremban selama lima penggal, Chen patut menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, sekiranya Malaysia ingin menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia. 

Malaysia memerlukan lebih ramai tokoh seperti Chen Man Hin sekiranya kita ingin memenuhi potensi negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia. 


LIM KIT SIANG ialah seorang veteran DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.