Skip to main
Logo Malaysiakini

Bertanding PRN atau tidak? PSM lancar pungutan suara

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang akan melancarkan pungutan suara untuk mendapatkan pandangan pengundi di negeri itu berkenaan kemungkinan parti itu untuk meletakkan calon dalam PRN akan datang.

Menurut ahli jawatankuasa PSM Choo Chon Kai, pungutan suara itu juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan pengundi berkenaan isu-isu yang perlu diberi perhatian.

“PSM sebagai parti politik progresif yang sentiasa membela nasib rakyat marhaen dan bertekad untuk membina kuasa rakyat dari bawah demi mempertahankan hak rakyat secara bersama, bersedia untuk menawarkan nafas baru kepada politik Malaysia dan Pulau Pinang, di samping terus berkhidmat untuk masyarakat dan memajukan perjuangan rakyat marhaen.

“Namun, PSM menyedari bahawa bukan mudah bagi sebuah parti politik kecil yang tidak menyertai mana-mana gabungan parti politik utama untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya,” kata Choo yang juga merupakan jurucakap PSM Pulau Pinang.

Pungutan suara itu dilakukan melalui pengisian borang atau secara dalam talian menerusi pautan dan akan berjalan selama enam minggu, bermula 19 Mei hingga 28 Jun.

Choo Chon Kai (tengah)

Choo memaklumkan tiga kerusi DUN yang menjadi perhatian PSM adalah Datok Keramat, Sungai Pinang dan Batu Lanchang - kesemuanya di dalam kawasan Parlimen Jelutong.

Soalan yang dikemukakan dalam borang pungutan suara tersebut termasuk sama ada menyokong PSM bertanding dalam PRN Pulau Pinang atau tidak, kawasan DUN mana yang patut ditandingi dan isu-isu yang harus diberi perhatian dalam PRN akan datang.

Parti itu hanya akan meletakkan calon di kawasan tersebut sekiranya ia dapat mencapai sasaran jumlah sokongan pengundi minimum yang ditetapkan, iaitu 2,800 pengundi untuk DUN Datuk Keramat, 3,400 untuk DUN Sungai Pinang dan 3,300 untuk DUN Batu Lanchang.

“Walaupun hanya senaraikan tiga kawasan DUN, para pengundi juga boleh mencadangkan kawasan DUN lain di Pulau Pinang untuk PSM letakkan calon pilihan raya.

“Sasaran sokongan pengundi minimum yang disenaraikan ini ditentukan oleh PSM Pulau Pinang berdasarkan anggaran kasar lebih kurang 10 peratus daripada jumlah pengundi di sesuatu kawasan DUN.

"PSM Pulau Pinang tidak akan bertanding sekiranya angka sasaran sokongan pengundi minimum yang ditetapkan untuk sesuatu kawasan DUN ini tidak tercapai,” katanya. lagi.

Choo berkata PSM akan membawa isu-isu penting seperti mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan, membangunkan dasar yang menjamin rumah mampu milik yang selesa, mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisyen serta membantah projek pembangunan yang merosakkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan.