‘Mual, loya kerana kezaliman pihak berkuasa, elit terhadap Anwar’
Filem Anwar: The Untold Story memaparkan kisah benar yang berdasarkan fakta sejarah, tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim membalas kritikan Khairuddin Abu Hassan terhadap karya itu.
Wakil rakyat PKR itu berkata ia mengingatkan peristiwa pada hujung 1998 yang menggambarkan kesengsaraan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.
“Yang memualkan dan meloyakan bukannya filem itu tetapi peri laku kebinatangan pihak berkuasa dan elit berkuasa ketika itu yang bertindak zalim terhadap Anwar Ibrahim.
“Kalau nak saman saya atau nak ambil tindakan undang-undang ke atas saya kerana bercakap perkara yang benar ini maka silakan. Saya tunggu di mahkamah.
“Kami aktivis reformasi zaman itu hampir 25 tahun yang lalu masih bernyawa dan menjadi saksi hidup yang mengetahui kezaliman yang dilakukan oleh rejim perdana menteri yang keempat waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hassan berkata fakta kejadian serangan ketua polis negara ketika itu Abdul Rahim Noor terhadap Anwar di dalam lokap Bukti Aman hingga cedera muka dan lebam mata adalah benar.
"Kes itu telah dibicarakan di Mahkamah Jenayah Di Kuala Lumpur. Mahkamah mendapati Tan Sri Abdul Rahim Noor, ketua polis negara bersalah kerana mencederakan Anwar Ibrahim," katanya.
Terdahulu, Khairuddin menyifatkan filem itu sebagai "haprak berunsur propaganda" bertujuan memfitnah dan mencemarkan reputasi Mahathir.
Bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan itu berkata demikian selepas menonton karya itu, berpendapat Anwar: The Untold Story mengandungi fakta yang tidak tepat.
Khairuddin turut menyoal mengapa filem itu perlu digarap oleh Viva Westi seorang sutradara dari Indonesia dan bukannya pengarah tempatan memandangkan naskhah seni itu mengenai tokoh Malaysia.
Mengulas lanjut, Hassan menyarankan Khairuddin yang dikenali sebagai penyokong tegar Mahathir supaya membikin filem tentang pemimpin berusia 97 tahun itu.
“Khairuddin Abu Hassan boleh buat filem untuk Tun Dr Mahathir Mohamad. Pujilah Tun M setinggi langit. Tiada siapa yang bantah.
“Carilah pelakon-pelakon Malaysia, sutradara Malaysia, penerbit Malaysia. Semuanya Malaysia.
“Buatlah untuk Tun Mahathir. Tak ada masalah.
“Tetapi kenapa nak kata filem Anwar: The Untold Story itu meloyakan,” soalnya.
Latar waktu untuk filem itu ketika Anwar memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dari 1991 sehingga dipecat pada 1998.
Filem Anwar: The Untold Story ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula semalam.
Antara barisan pelakon yang menjayakan filem itu ialah Farid Kamil sebagai Anwar, Acha Septriasa (Wan Azizah Wan Ibrahim), Hasnul Rahmat (Mahathir), Piet Pagau (bapa Anwar) dan Saskia Chadwick (Nurul Izzah).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai