Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri gesa polis siasat dalang fitnah projek tebatan banjir

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa pihak polis untuk mengenal pasti pelaku yang terlibat dalam dakwaan membocorkan maklumat sulit kerajaan serta memfitnah namanya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkaitan kelulusan projek rancangan tebatan banjir (RTB) persekutuan.

Nik Nazmi berkata satu laporan polis telah dibuat oleh pejabatnya terhadap beberapa akaun media sosial di Facebook, TikTok dan Telegram yang mendakwa dia bersama-sama Anwar meluluskan projek tebatan banjir tanpa melalui proses sewajarnya.

"Ini secara jelas telah mendorong orang awam yang membaca hantaran tersebut membuat tanggapan bahawa kami menyeleweng dana awam.

"Sehubungan itu, saya berharap pihak polis dapat mengenal pasti dalang di sebalik tuduhan palsu, fitnah dan kebocoran maklumat sulit kerajaan dengan kadar segera.

"Saya juga ingin menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim terhadap tatakelola baik dan tahap integriti yang tertinggi," katanya lagi.

Nik Nazmi, yang juga naib presiden PKR, tidak menamakan akaun media sosial atau maklumat tepat yang dikatakan bocor itu.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari (gambar, atas) dilaporkan Harakahdaily, memetik surat tular yang didakwa daripada Nik Nazmi kepada Anwar.

Surat yang didakwa itu mengandungi senarai "syarikat-syarikat yang difikirkan mampu memenuhi kriteria untuk rujukan dan pertimbangan perdana menteri bagi tujuan penyertaan di dalam proses tender" projek tebatan banjir.

"Soalan saya, sejak bilakah apa yang disebut sebagai tender terbuka tiba-tiba menjadi tender terbuka terpilih ini," tanya Ahmad Fadhli.

Ahli parlimen PAS itu juga mendakwa syor yang masih belum disahkan kesahihan itu bertentangan dengan janji Anwar untuk ketelusan dan tadbir urus yang baik.

"Kena ingat, walaupun dicop sulit di atas surat yang sangat jelas maksudnya ini, pegawai-pegawai kerajaan sendiri sangat meluat dengan amalan luar kebiasaan seperti ini," kata Ahmad Fadhli.

Anwar ketika tidak sampai sebulan memegang jawatan perdana menteri pada Disember tahun lepas, telah mengarahkan kajian semula kelulusan tender bernilai RM7 bilion di bawah projek RTB berjumlah RM15 bilion yang dijalankan melalui rundingan terus dan bukannya proses tender.

Pada masa itu, Anwar berkata proses tender terpilih akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM1.8 bilion dalam projek tebatan banjir tersebut.