Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas dapat sijil lahir, nenek nak pastikan Yusri dapat ke sekolah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

"Saya bersyukur sangat, pertama saya nak dia bersekolah dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain," kata Sabariah Ahmad, 69, yang juga nenek kepada kanak-kanak yatim piatu, Muhammad Yusri.

Hari ini menjadi detik penuh bermakna buat kanak-kanak berusia lapan tahun itu apabila dia menerima sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas berita mengenai masalahnya disiarkan Malaysiakini pada 21 April lalu.

"Selepas ini saya ingin usahakan status warganegara pula kepada dia.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya (mendapatkan sijil kelahiran) selama ini," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Pada masa sama Sabariah berkata, buat masa ini lebih baik isu kesilapan arwah ibu bapa Yusri yang tidak mendaftarkan kelahiran kanakl-kanak terbabit diketepikan.

"Saya nak pastikan dia mendapat pendidikan seperti anak-anak lain," katanya.

Buat masa ini meskipun sudah mendapat sijil kelahiran, namun Yusri masih berstatus bukan warganegara Malaysia kerana ibunya merupakan warga Indonesia.

Sebelum itu Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman, hadir ke kediaman Sabariah bagi menyerahkan sendiri sijil kelahiran kepada kanak-kanak berkenaan yang menjadi yatim piatu selepas ayahnya meninggal dunia pada 12 April lalu.

Lelaki terbabit yang juga warganegara Malaysia menghembus nafas terakhir akibat serangan jantung.

Ibu Yusri pula sudah meninggal dunia kira-kira setahun lalu.

Mengulas lanjut Sabariah berkata, Yusri tidak mengikuti pendidikan secara formal kerana tiada dokumen, namun dia tetap mengupah guru untuk mengajar Yusri supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Kalau sakit tak bawa pergi klinik, beli ubat di farmasi saja. Pernah sebelum ini dia demam panas dan kita usahakan pelbagai cara agar dia sihat semula.

"Dia juga ada tanya bila dia boleh bersekolah macam orang lain, ayahnya dulu cuma cakap 'tunggu' dulu," katanya lagi.

Zamri Misman

Sementara itu, Zamri menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah urusan mendaftarkan kelahiran kerana yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak berkenaan.

Katanya, JPN sedia membantu untuk memproses dokumen untuk mereka yang lewat mendaftar kelahiran asalkan sedia bekerjasama dengan agensi berkaitan.

"Walaupun sijil kelahiran bukan berstatus warganegara kerana ibunya warga negara Indonesia, tetapi sekurang-kurangnya dia ada dokumentas.

"Saya mohon penjaga Yusri supaya memohon pendaftaran anak angkat," katanya.

Tambah Zamri selain isu pendataftran lewat kelahiran, kanak-kanak juga akan berdepan dengan banyak masalah jika pihak ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan mereka seperti sepatutnya.