Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafie: Apa-apa jadi pada saya, Leiking ambil alih presiden Warisan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal telah menamakan Darell Leiking sebagai penggantinya dalam parti itu.

Shafie dipetik Borneo Post berkata demikian pada sidang dewan undangan Sabah semalam.

"Jika apa-apa jadi pada saya, (Adun) Moyog akan ambil alih," kata Shafie, yang juga Adun Senallang.

Leiking, 52, timbalan Shafie yang bersama-sama mengasaskan Warisan pada 2016.

Kedua-dua Shafie dan Leiking mengekalkan jawatan dalam Warisan tanpa bertanding tahun lepas.

Sementara itu, Shafie yang juga ketua pembangkang DUN Sabah turut menggesa kerajaan negeri membentangkan undang-undang bagi mengelakkan Adun berpaling tadah.

Dia berkata tanpa undang-undang sedemikian, perbuatan lompat parti akan menyebabkan ketidakstabilan politik.

“Sebagai orang Sabah, saya malu... saya sorok muka sebagai orang Sabah,” katanya.

Ramai wakil rakyat Warisan berpaling tadah sejak tiga tahun lalu.

Semasa pilihan raya dewan undangan 2020, Warisan menang 23 kerusi. Enam daripada Adun parti itu telah berpaling tadah.

Kerajaan Sabah telah menyenaraikan "rang undang-undang anti-lompat" sebagai agenda terakhir dalam aturan mesyuarat sidang DUN yang sedang berlangsung.

Semalam, Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya berjanji masa yang mencukupi akan diberikan untuk perbahasan rang undang-undang itu.

Sabah satu dari lima negeri yang tidak mempunyai undang-undang antilompat parti - yang memperuntukkan kerusi DUN menjadi kosong jika Adun berpaling tadah kepada parti lain.

Johor, Melaka, Pahang dan Terengganu juga tidak mempunyai undang-undang sedemikian.