Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: Andai PH-BN tersungkur, Zahid perlu undur cara terhormat - PAS

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PAS menggesa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berundur sekiranya Pakatan Harapan dan BN gagal dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin membuat penegasan itu selepas Zahid mencabar Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk menggunakan pilihan raya negeri sebagai pengukur aras sokongan rakyat.

"PRU15 telah membuktikan BN-Umno merekodkan keputusan terburuk dalam sejarah kerana hanya tinggal 30 kerusi Parlimen sahaja.

"Dan Umno hanya tinggal 28 kerusi dan ini adalah pencapaian terburuk presiden Umno setakat ini," katanya pada satu kenyataan.

Khairil mendakwa ahli Umno dijangka mengalihkan sokongan mereka kepada PN atas pelbagai isu yang melingkari kerajaan PH-BN dan "tunduknya Umno kepada DAP."

"Peralihan sokongan ini juga ditambah dengan perbalahan pembahagian kerusi antara Umno dan DAP dibeberapa negeri hingga ramai ahli Umno kini bertekad menentang Umno secara terbuka.

"PAS yakin kemelut dalaman PH-BN selain kelemahan pentadbiran Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) yang terlalu ketara akan dihukum rakyat dalam PRN ini,” dakwanya lagi.

"Andai PH-BN tersungkur, TPM perlu berundur secara terhormat," katanya.

Enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya tahun ini ialah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH serta Kedah, Terengganu dan Kelantan yang diperintah PAS.