Skip to main
Logo Malaysiakini

Projek lombong nadir bumi akan dihenti kalau ancam kesihatan rakyat - MB

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menghentikan projek unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini sekiranya didapati projek berkenaan mempunyai unsur yang membahayakan kesihatan rakyat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun yakin semua proses yang terlibat tidak akan menghasilkan bahan berbahaya termasuk bahan radioaktif dengan kemahiran, panduan dan bimbingan pihak terlibat.

“Masyarakat mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat berhubung projek berkenaan selain rancangan kerajaan negeri terhadap perkara itu.

"Tetapi kami memberi jaminan sekiranya proses mengekstrak NR-REE itu ataupun proses memproses bahan-bahan baru daripada pengekstrakan itu mendatangkan keburukan, contohnya ada sumber radioaktif, maka kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek itu sebab ia membahayakan kesihatan,” katanya pada persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Koo Haai Yen (PH-Keranji) yang mahu tahu pelan kerajaan negeri untuk menguruskan bahan radioaktif yang dikerahkan dalam proses pemprosesan NR-REE.

Dalam pada itu, Saarani (BN-Kota Tampan) memberi jaminan apabila suatu projek rintis dilakukan di sesuatu kawasan, kerajaan negeri telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kementerian berkaitan selain audit dilakukan bagi memastikan usaha berkenaan mematuhi segala ketetapan.

Beliau berkata pengoperasian projek rintis berkenaan oleh operator lantikan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak iaitu syarikat MCRE Resources Sdn Bhd hanya dimulakan setelah mendapat pelbagai kelulusan daripada agensi teknikal berkaitan antaranya laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

"Semua ini (ketetapan) dipatuhi dan setelah pihak kementerian berpuas hati, audit telah berpuas hati, barulah kita boleh buka ruang supaya projek ini akan dapat diteruskan kerana seluruh negara, negeri-negeri lain yang mempunyai sumber yang sama sedang menanti apa hasil daripada projek rintis di negeri Perak ini.

"Insya-Allah kami sentiasa berhati-hati dan saya beri jaminan jika ia mendatangkan kemudaratan, kami lebih mengutamakan kesihatan dan dan nyawa rakyat negeri Perak berbanding dengan hasil ini," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol) yenag meminta penjelasan berkenaan sisa arsenik daripada aktiviti perlombongan di Hulu Perak yang mencemarkan Sungai Rui.

Sementara itu, Saarani menjelaskan perlombongan NR-REE di Gerik tidak menghasilkan bahan radioaktif kerana tahap kepekatan radioaktiviti semula jadinya tidak melebihi 1.0 Bq (Becquerel)/g atau masing-masing 246.5 ppm (parts per million) torium atau 80.9 ppm uranium atau 10 Bq/g kalium.

Beliau berkata angka tersebut adalah penetapan di bawah Jadual Kedua, Peraturan Pelesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011.

Selain itu, Saarani berkata kerajaan negeri komited mewujudkan pusat pemprosesan NR-REE di Perak sebagai aktiviti industri hiliran bagi menghasilkan semi produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi jika dibandingkan dengan produk mentah NR-REE.

"Hasrat ini telah pun dizahirkan kepada kerajaan Persekutuan yang tiga lokasi strategik boleh ditawarkan pada bila-bila masa kepada kerajaan Persekutuan memandangkan tapak-tapak berkenaan adalah berstatus tanah kerajaan dan juga tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri," katanya.

Menurutnya tiga lokasi berkenaan ialah Muallim; Bandariang, Hulu Perak dan Silver Valley Technology Park, Kanthan, Kinta.

Beliau menjawab soalan asal Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) yang mahu tahu berkenaan pelombongan lantanid di Gerik.

- Bernama