Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: Kos rawat paru-paru cedera akibat vape boleh cecah RM150,000

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Rawatan bagi kecederaan paru-paru berkaitan vape elektronik (dirujuk sebagai Evali) dianggarkan menelan kos sehingga RM150,000 untuk kemasukan 12 hari ke wad.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa sejumlah 38 kes berkaitan vape telah dilaporkan, 18 daripadanya berkaitan dengan penyakit Evali, sejak 2022.

"Penggunaan rokok elektronik atau vape sungguhpun pada awalnya ia dicipta sebagai alternatif yang dikatakan lebih selamat daripada rokok tembakau namun kajian-kajian saintifik terkini telah membuktikan bahawa rokok alaf baru termasuk rokok elektronik atau vape adalah tetap berbahaya," kata KKM.

Kementerian itu menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew (gambar, bawah) yang meminta KKM menyatakan kesan baik dan buruk vape.

Ling turut menyoal jika KKM akan mengehadkan vape supaya produk tersebut tidak diletakkan dalam pembungkusan yang menarik dan mempunyai perisa yang sedap.

Bagaimanapun, kementerian berkata tiada piawaian ditetapkan untuk menentukan keselamatan e-cecair kerana tiada had selamat bagi bahan kimia yang terkandung dalam cecair e-rokok atau vape.

Lantaran itu, KKM bercadang meneruskan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

"Melalui RUU tersebut, kawalan menyeluruh terhadap produkdan pembungkusan yang menyerupai permainan kanak-kanak.

"Kawalan terhadap perisa yang boleh menarik perhatian kanak-kanak fdan remaja menggunakan produk ini juga boleh dilaksanakan melalui RUU ini," kata KKM lagi.