Skip to main
Logo Malaysiakini

Ismail Sabri saran pembinaan litar drag setiap negeri diteruskan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menyarankan agar kerajaan ketika ini menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneruskan pembinaan litar drag di setiap negeri seperti cadangan kerajaan terdahulu yang bernilai RM20 juta.

Dia berkata ia untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

“Pihak KBS dicadang supaya melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor bagi memahami tujuan cadangan, aspirasi serta minat golongan muda terhadap sukan permotoran,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata di Johor, pembinaan adalah pada kadar minimum seperti litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk granstan.

Dia berkata litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap dibina tahun lepas hasil usaha sama agensi swasta, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga hanya melibatkan kos RM1.3 juta.

Katanya kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran merupakan antara punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti lumba haram, aktviti samseng jalanan serta melepak.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan Andi Muhammad Suryady Bandy berkata cadangan kerajaan terdahulu untuk membina litar perlumbaan drag khas di setiap negeri tidak akan diteruskan kerana akan menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi selain perlu diselia oleh pakar terlatih.

-Bernama