Peja: Dakwa 80 bekas menteri boleh kurangkan harga makanan?
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya terlalu terikat kepada usaha membanteras rasuah semata-mata, sebaliknya turut menumpukan perhatian kepada taraf kehidupan rakyat, kata Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu.
Mengakui usaha membanteras rasuah merupakan perkara yang wajib ditangani, Ahmad Faizal tetap mengingatkan kepada Anwar supaya tidak mengabaikan kualiti kehidupan rakyat.
“Sebagai orang Islam, saya percaya (sekiranya) kamu minta (pertolongan) kepada Allah, Allah akan bagi (tunaikan doa).
“Jadi dia minta (selama) 20 tahun (untuk jadi perdana menteri) kepada Allah, Allah bagi. Bila kamu dah jadi PM sekarang, jadi PM dapat amanat, ini tanggungjawab kamu.
“Kerja pertama kamu adalah untuk banteras rasuah, semua ni (memang) wajib. Setiap hari kita kena buat… tapi fokus mestilah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Faizal berkata demikian ketika wawancara bersama Malaysiakini, ketika diminta mengulas mengenai prestasi Anwar sebagai perdana menteri sejak menyandang jawatan tersebut pada November lalu.
“Hari ini saya nampak sejak enam bulan yang lepas, lebih (menumpukan kesalahan) kepada orang itu rasuah, orang ini rasuah. Semua orang rasuah. Dia (Anwar) seorang saja yang tak,” sindirnya.
“Dan saya nampak, kalaulah kita tangkap 80 orang bekas menteri dalam sehari dan dakwa mereka setiap hari, apakah harga barangan makanan menurun tiba-tiba?”
Sejak beberapa bulan yang lalu, beberapa pimpinan Bersatu termasuk presidennya yang juga bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, turut diheret ke mahkamah berhubung dakwaan rasuah, yang disifatkan sebagai pendakwaan politik.
Meskipun timbalan presiden Bersatu itu diminta menilai prestasi Anwar, dia berkata apa yang perlu dilaksanakan oleh presiden PKR itu mestilah melampaui retorik antirasuah.
“Hari-hari mesti cakap tentang itu, cakap rasuah, rasuah, rasuah. Sampai kita pun dah pening dah. Takkan semua orang rasuah, rasuah setiap hari?” soalnya.
Ahmad Faizal juga menggesa supaya semua ahli politik hentikan bermain politik dan sudah tiba masanya menumpukan kepada kebajikan rakyat.
Dia kemudian ditanya sama ada perkara yang sama sepatutnya diamalkan oleh ahli politik dari PN, bekas menteri besar Perak itu mengangguk bersetuju.
“Sudah pasti. Semua ahli politik termasuk saya.
“Tapi saya (sedang) cakap. Sebab kamu tanya, kamu berhenti tanyalah. Kamu tanya saya, saya kenalah respon,” katanya sambil ketawa.
Tidak hanya Anwar, Ahmad Faizal turut mengkritik prestasi timbalan presiden PKR Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi.
Menyifatkan Rafizi seorang yang bijak sebelum menjadi sebahagian daripada kerajaan, Ahmad Faizal mempertikaikan prestasi yang tidak memberangsangkan itu.
“Saya betul-betul percaya yang Rafizi Ramli ini seorang yang bijak tapi tu masa dia jadi pemimpin pembangkang.
“Tiba-tiba bila dia jadi (sebahagian daripada) kerajaan, saya tak tahu dia jadi ‘kacau’ ke apa? Tiba-tiba saya rasa dia agak ‘off-key’ sikit. Maaflah Rafizi… kalau kamu tengah dengar. Tapi saya rasa kamu patut tambah baik,” katanya.
“Masa saya dalam Pakatan Harapan dulu dengan dia, bila Rafizi kalau bagi kenyataan, saya akan beri tumpuan. Sekarang bila dia bercakap ni, kita eh? A bit off lah kan.
“Tak tahulah apa yang you makan. Tukarlah diet atau buatlah sesuatu,” tambahnya.
Di bawah merupakan beberapa petikan wawancara itu:
Malaysiakini: Bagaimana anda nilai prestasi Anwar sebagai perdana menteri?
Faizal: (Selepas bercakap tentang penekanan membanteras rasuah)… Tapi pada masa sama kita nampak seseorang yang tiada kerja selama 22 tahun, (kemudian) keluar daripada (penjara) Sungai Buloh, duduk rumah besar juga. Datang dari mana tu?
“Bila dia cakap (Dr) Mahathir (Mohamad) yang dia (ada) bukti kotak-kotak tanya bukti, saya akan tunjukkan. Mana? Tunjukkanlah. Bila kita tanya yang you pula dapat duit dari mana, tak berjawab juga.
(Mahathir memfailkan saman RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa dan ahli parlimen Tambun berkata dia sedia berdepan 90-an itu di mahkamah.)
Malaysiakini: Anwar telah mengisytiharkan asetnya sebanyak RM11.2 juta.
“Tak tahulah… kalau RM11 juta, kalau rumah yang saya pergi dulu (di Petaling Jaya), pernah tengok tak tahulah dia sewa ke apa banglo itu. Kalau sewa, saya agak RM20,000 hingga RM30,000 sebulan. Kalau dia beli mungkin rumah itu sahaja RM10 juta hingga RM15 juta. Jadi mana dia dapat? Okey, (kata) you ada ramai kawan. Saya nak tahu siapa kawan you yang bagi?
Malaysiakini: Pengkritik Anwar sebelum ini penah dicabar untuk mengisytiharkan aset mereka juga.
Faizal: Saya rasa kita semua lakukannya (isytihar aset). Ketika saya jadi menteri saya lakukannya. Saya isytiharkan kepada perdana menteri dan juga kepada orang ramai. Iya, dan ia di laman web SPRM.
(Faizal berkhidmat sebagai menteri belia dan sukan sewaktu pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.)
Faizal: Kalau kita dapat buktikan yang Anwar pun rasuah, Mahathir pun rasuah tetapi kita (rakyat) hidup susah, apa gunanya? Bukan saya kata ‘okey’ (kepada) rasuah. Rasuah tak bagus tapi fokus sekarang ni kepada rakyat, taraf kehidupan. Orang naik motor pergi kerja, susah hati anak pergi sekolah tak makan lagi.
Malaysiakini: Apa cadangan untuk menambah baik kos kehidupan?
Faizal: Terdapat banyak sangat tetapi kalau you tak mulakan dari mana-mana macam mana? Kalau kita nak cakap pasal telur, pasal telur kita bergaduh berapa lama? Zaman saya menteri pun kita bergaduh pasal ayam. Sepatutnya boleh selesaikan dengan mudah kalau kita bekerjasama.
Dari sekolah punya permasalahan kita ada banyak kementerian sampai ke tahap jaminan makanan.
Kita ada banyak permasalahan B40 di bandar dan kita boleh selesaikan kalau kita bekerja bersama-sama. Cari jalan. Kita tak pernah nak mulakan dari mana-mana sebab kita selalu cakap pasal politik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai