Di tengah cabaran China, k'jaan pergiat promosi durian tempatan
Kerajaan akan terus mempergiatkan promosi hasil durian tempatan dalam pelbagai bentuk ke pentas global menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Timbalan menterinya Chan Foong Hin ketika sesi Kamar Khas di Parlimen, berkata KPKM juga akan menggalakkan pengusaha durian tempatan mempelbagaikan hasil keluaran bagi menjana pendapatan serta meningkatkan daya saing industri durian negara, selain eksport buah durian segar dan sejuk beku.
“Kementerian juga turut memberi penekanan kepada penghasilan produk industri hiliran berasaskan durian yang luas di luar negara serta merancakkan industri pemprosesan makanan negara.
"Sehingga hari ini Malaysia turut mengeksport produk berasaskan durian seperti kek dan roll durian, wafer, roti, biskut dan coklat berperisa durian, ais krim durian,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, berkenaan pasaran eksport durian Malaysia.
Baru-baru ini China dilaporkan akan turut mengeluarkan durian bermula jun depan, menjadikan 2023 sebagai tahun paling mencabar buat pengusaha durian tempatan.
Menurut laporan itu lagi, penanaman durian di Pulau Hainan di China, dengan keluasan lebih 2,000 hektar, mungkin akan mengurangkan import raja buah itu ke negara tersebut.
Media melaporkan pengusaha durian akan berdepan masalah besar memandangkan China sebelum ini mengimport sebanyak 825,000 tan durian dengan nilai RM17.732 billion setiap tahun.
Mengulas lanjut, Chan berkata KPKM sedang berbincang dengan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi mengeksport buah durian segar ke republik itu.
"KPKM bersama-sama Jabatan Pertanian dalam proses untuk berunding dengan pihak GACC di China untuk mendapatkan akses pasaran buah durian segar ke China, setelah berjaya untuk mendapatkan pasaran nangka segar ke China.
"Bagaimanapun, faktor ketahanan pada suhu bilik (shelf life) menjadi cabaran kepada Malaysia untuk mengekalkan tahap kesegaran dan kualiti buah durian yang dieksport.
“Pengeksportan durian ke China dalam bentuk segar memerlukan buah durian dituai sebelum tempoh matang penuh bagi memastikan kulit buah durian tidak merekah apabila tiba di China," katanya.
Katanya lagi, memandangkan durian tempatan dituai ketika mencapai kematangan dan luruh, tempoh ketahanan buah lebih sukar untuk dieksport secara segar ke destinasi yang jauh.
"Sekiranya Malaysia mendapat laluan pasaran durian segar ke China, pengusaha-pengusaha durian tempatan perlu bersedia dengan teknik penuaian buah yang dapat memanjangkan tempoh ketahanan buah pada suhu bilik,” katanya lagi.
Dia memaklumkan bagi eksport durian sejuk beku ke China, setakat ini sebanyak 44 fasiliti pemprosesan telah menerima kelulusan eksport daripada GACC.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 fasiliti untuk durian dalam bentuk ulas dan pes, manakala selebihnya untuk durian dalam bentuk biji.
"Bagi memperkasakan pasaran durian Malaysia di luar negara dan meningkatkan kesedaran pengguna di peringkat antarabangsa, KPKM menerusi Pejabat Perwakilan Pertanian di luar negara bersama-sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekuturan (Fama) juga aktif menjalankan program promosi di luar negara termasuk menyertai pameran perdagangan dan menganjurkan program promosi durian," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai