Skip to main
Logo Malaysiakini

Yahya Jaafar ketua Umno Bahagian JB, ketepikan Mohd Hairi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Datuk Yahya Jaafar dinamakan sebagai Ketua Umno Bahagian Johor Bahru sekali gus mengetepikan Naib Ketua Pemuda Umno Mohd Hairi Mad Shah dalam pemilihan Umno bahagian itu yang berlangsung hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Tetap Umno Johor Bahru Mohd Seth Hussin pada 3.45 petang.

Yahya, bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, meraih 296 undi berbanding Mohd Hairi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin, yang mendapat 260 undi daripada 556 perwakilan yang hadir di sebuah hotel di Johor Bahru.

"Saya berharap kita dapat satukan semula semangat kekeluargaan dan semangat parti yang wujud sebelum ini. Saya harap semua dapat berlapang dada untuk menerima saya sebagai Ketua Bahagian dan saya sentiasa akan menerima semua pihak untuk bekerjasama dalam meneruskan kelangsungan parti kita yang tercinta.

Pemimpin Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Shahrir Samad yang telah memimpin Umno bahagian selama 40 tahun," katanya kepada pemberita.

Yahya juga berkata bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu banyak memberi tunjuk ajar kepadanya dan sebagai pemimpin bahagian yang baru, beliau terbuka serta sedia menerima segala teguran dan pandangan semua pihak.

Sebelum ini, pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru pada 18 Mac lepas ditangguh dan digantung susulan dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.

- Bernama