Skip to main
Logo Malaysiakini

Rundingan damai di Selatan Thai tetap terus walau k'jaan bertukar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rundingan damai di Selatan Thailand adalah agenda nasional dan ia akan diteruskan meskipun kerajaan bertukar demi memastikan keamanan dan menyelesaikan konflik yang berlanjutan selama dua dekad.

Ketua Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh berkata adalah penting untuk mengekalkan momentum rundingan damai ketika peralihan politik negara.

Beliau berkata pasukannya sedang mempercepatkan penyelarasan dengan semua pihak berkaitan bagi menjamin proses rundingan berjalan tanpa gangguan sehingga kerajaan baru ditubuhkan.

“Saya ingin meyakinkan anda bahawa walaupun kerajaan bertukar, rundingan damai akan terus menjadi agenda nasional dengan objektifnya memastikan keamanan di wilayah selatan,” katanya.

Mengenai pelan komprehensif bersama ke arah keamanan (JCPP), iaitu pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian damai menjelang akhir 2024, Wanlop berkata kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi membangunkan pelan hala tuju secara kolaboratif, komprehensif dan inklusif supaya memudahkan kemajuan terhadap dialog berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk memanjangkan tempoh masa kerana Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan mengumumkan rundingan ditangguh sementara menunggu Pilihan Raya Umum 14 Mei dan pembentukan kerajaan baru, katanya.

"Kami sedang berusaha ke arah mencapai matlamat perjanjian itu menjelang Disember tahun depan," katanya.

Berdasarkan garis masa yang dapat disaksikan semasa Pilihan Raya Umum 2019, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum kerajaan baru dibentuk.

‘Proses damai akan diterajui orang awam?’

Rundingan damai hanya boleh disambung semula seawal September.

Pilihan Raya Umum 14 Mei menyaksikan gabungan pemerintah kalah dalam pilihan raya itu.

Gabungan diketuai Parti Move Forward yang memenangi pilihan raya memaklumkan ia akan mengutamakan keamanan di selatan Thailand.

Dalam 23 perkara Memorandum Persefahaman (MOU), gabungan lapan parti itu akan bekerjasama membina proses keamanan mampan di wilayah selatan, dengan mengambil kira hak asasi manusia, kewujudan bersama masyarakat berbilang budaya, penyertaan semua sektor dan mengkaji semula agensi dan undang-undang berkaitan dengan keselamatan.

Pemimpin Parti Move Forward dan calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat berkata proses damai akan diterajui oleh orang awam, menggantikan peranan utama tentera dalam proses rundingan.

Proses rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN bertujuan bagi mencari penyelesaian demi menamatkan konflik yang memuncak pada Januari 1994 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Gambar fail, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai demi menamatkan konflik selama beberapa dekad yang memuncak pada Januari 2004.

Bekas Panglima angkatan tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator.

Statistik oleh kumpulan pemantau bebas Deep South Watch memaparkan keganasan berlanjutan di selatan Thailand, bermula pada 2004 dan telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.

- Bernama