Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam: Sudah 5 tahun kes CBT RM6.6 bilion Irwan tergantung

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sudah lima tahun kes pecah amanah jenayah bernilai RM6.6 bilion menyelubungi hidup bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar, kata peguamnya.

K Kumaraendran memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa sebutan kes perlu ditetapkan Julai ini bagi "memberi tekanan" kepada pihak pendakwaan untuk membuat keputusan berhubung surat representasi Irwan dalam kes berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC) itu.

Pada 3 April lalu, hakim perbicaraan Muhammad Jamil Hussin mengosongkan jadual perbicaraan terhadap Irwan dan bekas perdana menteri Najib Razak pada hari itu untuk membolehkan Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan sama ada untuk membenaran representasi Irwan atau tidak.

Dalam surat representasinya, pihak tertuduh memberi cadangan penyelesaian, seperti menerusi pembatalan pendakwaan atau pendakwaan yang lebih ringan.

Ketika sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi meminta satu tarikh pada September untuk membolehkan Peguam Negara (AG) Idrus Harun membuat keputusan berkenaan representasi Irwan.

Muhammad Saifuddin berkata ini kerana ia melibatkan RM6 bilion dan sejumlah isu dan AG perlu lebih masa untuk menelitinya.

Namun, Kumaraendran memberi cadangan balas iaitu sebutan kes ditetapkan pada Julai.

"Pendakwaan ini telah menyelubungi hidup anak guam saya selama lima tahun. Dia (Irwan) didakwa (di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) pada 2018 dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 2019.

"Kemudian banyak tarikh ditetapkan untuk pendengaran dan atas pelbagai sebab, tarikh-tarikh ini dikosongkan.

"Pada 3 April, saya memohon DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan terhadap Irwan) dan Yang Arif menolaknya.

"Tarikh (untuk perbicaraan penuh) ditetapkan pada 3 April dan mereka (pendakwaan) beri sebab (untuk kosongkan tarikh perbicaraan) yang AG perlu buat pertimbangan terhadap representasi.

"September terlalu lama (untuk sebutan kes)," katanya, menyifatkan ia tidak adil untuk Irwan.

Kumaraendran berkata tempoh dua bulan - iaitu sehingga Julai - memadai untuk memberi tekanan kepada pendakwaan agar keputusan terhadap representasi tersebut dibuat lebih cepat.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tiada bantahan untuk tarikh baru sebutan kes.

Jamil kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk sebutan kes bagi pendakwaan pecah amanah jenayah terhadap Najib dan Irwan.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan lebih masa untuk memutuskan representasi dikemukakan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung tuduhan pecah amanah dihadapinya bersama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib dan Mohd Irwan didakwa pada 2018 atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa ia adalah arahan daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk memohon satu lagi tarikh pengurusan kes.

“Jadi, kami perlukan masa untuk meneliti surat representasi kerana kes ini melibatkan jumlah yang besar iaitu RM6 bilion. Kalau boleh kami mohon satu tarikh pada September,” katanya.

Permohonan pendakwaan itu tidak dibantah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bagaimanapun peguam Datuk N Kumaraendran bagi pihak Mohd Irwan Serigar memohon tarikh lebih awal iaitu pada Julai dengan alasan pertuduhan ke atas anak guamnya sudah ‘tergantung’ selama lima tahun.

“Pertuduhan ini telah menghantui anak guam saya selama lima tahun. Beliau didakwa pada 2018 dan kes ini telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 2019. Kemudian pelbagai tarikh telah ditetapkan untuk pendengaran dan atas pelbagai sebab, tarikh telah dilapangkan.

“Perkara ini kemudian ditetapkan untuk perbicaraan penuh pada 3 April dan pihak pendakwaan memberi alasan untuk melapangkan tarikh perbicaraan dengan memberi sebab AG perlu mempertimbangkan representasi itu. September terlalu lama untuk tarikh sebutan...Tarikh (sebutan) yang singkat iaitu dua bulan (pada Julai) sepatutnya memadai untuk memberi tekanan terhadap mereka (pendakwaan) untuk mendapatkan keputusan awal,” kata Kumaraendran.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Ogos bagi tarikh pengurusan kes bagi pendakwaan memaklumkan status representasi.

Najib mengemukakan representasinya dua tahun lepas tetapi ditolak manakala representasi dihantar oleh Mohd Irwan pada 2020 tidak dijawab oleh AGC, sehubungan itu Mohd Irwan menghantar permohonan representasi baharu pada Mac lepas.

Pada 24 Okt 2018, Najib, 69, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, bagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta dihadapi Najib, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy hari ini menetapkan 18 Ogos untuk pengurusan kes.

Tarikh itu ditetapkan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan bahawa rayuan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw yang berpangkalan di United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam bagi mewakili Najib dalam perbicaraan kes SRC International akan didengar pada 10 Ogos di Mahkamah Persekutuan.

 “Yang Arif, permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan sudah selesai. Namun, pendengaran rayuan Laidlaw ditetapkan pada 10 Ogos. Sehubungan itu, saya memohon satu lagi tarikh bagi memaklumkan status kes kepada mahkamah ini,” katanya.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.