Skip to main
Logo Malaysiakini

Raja Arshad dilantik pengerusi Kumpulan PNB

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), berkuat kuasa 1 Jun, 2023, bagi menggantikan Tun Arifin Zakaria yang bersara pada 6 Mei, 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata Raja Arshad ialah Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd, Icon Offshore Bhd dan Bumi Armada Bhd. Beliau merupakan bekas Pengarah Maxis Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.

Beliau juga merupakan bekas pengerusi eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.

“Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis,” kata PNB, salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Ahmad Zulqarnain Onn berkata lembaga pengarah dan warga PNB mengalu-alukan Raja Arshad ke lembaga pengarah dengan pengalaman luasnya dalam pengawasan syarikat dan institusi.

“Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Raja Arshad ialah Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW).

Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), berkhidmat dalam majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya adalah sebagai presiden.

- Bernama