Zaliha: KKM kenal pasti tapak pembinaan Hospital Maran
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata kerja-kerja awal termasuk mengenal pasti tapak yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Maran telahpun bermula.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini penduduk di sekitar daerah itu boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Hospital Jengka dan Jerantut sehingga hospital baru itu siap dibina.
"Kita sudah kenal pasti dari segi 'feasibility' tapak dicadangkan, jadi kita akan buat susulan tentang perkara ini.
"Lawatan tapak baru juga dilakukan JKNP (Jabatan Kesihatan Negeri Pahang) bersama PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) Maran dan bahagian teknikal KKM pada 25 Mei lalu.
"Seterusnya JKNP akan menunggu laporan penilaian tapak oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) Pahang dan pejabat tanah untuk mengetahui status tanah itu," katanya dalam sidang media di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, hari ini.
Untuk rekod, jarak bagi penduduk Maran ke Hospital Jengka adalah sejauh 41.6 kilometer, manakala untuk ke Hospital Jerantut pula, penduduk perlu menempuh perjalanan sejauh kira-kira 80 kilometer untuk satu hala.
Bagaimanapun, kedua-dua hospital itu tidak menawarkan perkhidmatan pakar dalam bidang kesihatan tertentu.
Pada masa ini hanya Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan Hospital Lipis dikategorikan sebagai hospital berpakar di Pahang.
Sebelum ini status Hospital Maran yang diluluskan dalam Bajet 2023 oleh bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob mencetuskan tanda tanya.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa Belanjawan 2023 diteliti semula dan tidak terikat dengan belanjawan lalu.
Pembinaan blok wanita, kanak-kanak HTAA
Sementara itu, Zaliha berkata pembinaan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) membabitkan kos RM605 juta akan dimulakan tidak lama lagi.
Sebelum ini dilaporkan pembinaan blok baru yang diluluskan dalam Roling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-11 itu akan memanfaatkan sekitar 564,000 penduduk di daerah itu.
"Proses pemilihan dan lantikan kontraktor akan dilakukan selewat-lewatnya hujung bulan depan.
"Pembinaan itu dijangka siap sekitar tahun 2026, tapi mungkin dianjakkan sedikit tempoh sasaran siap kerana berlaku kelewatan membabitkan proses lantikan kontraktor," katanya lagi.
Selain itu, dia memberitahu kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan lebih RM12 juta untuk kerja baik pulih dan naik taraf klinik daif di Pahang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai