Cinta tak berbalas, lelaki disyaki bunuh wanita warga emas
Polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun disyaki menyebabkan kematian seorang wanita warga emas, di sebuah rumah di Batu 8 Jalan Pantai Teluk Kemang pada 9 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata lelaki tersebut ditahan di sebuah rumah di Kuala Klawang, Jelebu pada 16 Mei, kira-kira 12.05 tengah malam.
Beliau berkata susulan itu, kertas siasatan 'mati mengejut' berkaitan wanita berusia 67 tahun itu telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit. Motif pembunuhan adalah disebabkan cinta tidak berbalas,” katanya dalam satu kenyataan di Port Dickson semalam.
Beliau berkata kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan telah mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan turut dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Aidi Sham berkata lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson esok.
Polis sebelum ini melaporkan menerima maklumat seorang wanita ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah bilik di sebuah rumah di Batu 8 Jalan Pantai Teluk Kemang di sini pada 9 Mei. Pembantu Perubatan dari Hospital Port Dickson mengesahkan kematian tersebut pada 1.30 petang dan mayat kemudiannya dibawa ke Hospital untuk dibedah siasat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai