Kementerian pantau penjualan durian kepada peniaga asing
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memantau secara dekat isu peniaga warga asing membeli durian tempatan dengan harga yang tinggi di Pahang baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, berkata pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi melindungi kepentingan pekebun durian.
"Saya telah memantau rapi isu peniaga asing yang membeli durian tempatan dengan harga tinggi di Pahang baru-baru ini.
"Saya ingin mengulangi bahawa KPKM sentiasa sedang meneruskan usaha dan memudahkan proses mendapatkan kelulusan untuk mengeksport buah durian segar ke China," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, beberapa akhbar Cina tempatan melaporkan bahawa pengeluaran hasil musang king di Raub kini dijual kepada pemborong Thailand dengan cara memetik dari pokok pada peringkat matang.
Berdasarkan laporan media, ramai pengusaha dan pekebun durian tempatan tertarik dengan tawaran daripada pemborong Thailand disebabkan beberapa faktor termasuk harga borong yang lebih tinggi, pemasaran yang lebih luas dan menjimatkan kos pemprosesan dan tenaga kerja.
Berhubung perbincangan untuk eksport buah durian segar ke China, Chan berharap pihak yang mahu proses itu dipercepatkan agar dapat bersabar kerana masa diperlukan dalam rundingan teknikal dua hala tersebut.
"Penting untuk kita guna saluran perdagangan yang betul untuk eksport durian bagi memastikan pekebun tempatan tidak ketinggalan untuk tempoh jangka panjang serta melindungi reputasi dan jenama Musang King daripada dieskploitasi pasaran lain.
"Saya yakin pekebun faham yang durian Malaysia ada kelebihan semula jadi di pasaran antarabangsa kerana kualiti premiumnya," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai