PM: Peruntukan lebih pada Sabah, S'wak tindakan yang adil
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pembangkang bahawa dia bersikap lebih berat terhadap Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung, ekoran peruntukan lebih besar yang diberikan kepada negeri Malaysia Timur itu.
Anwar berkata peruntukan lebih besar itu diberikan berdasarkan keperluan.
"Ada ahli parlimen pembangkang yang kritik saya, kata Anwar atau menteri kewangan tidak adil kerana beri terlalu lebih keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dan ketepikan negeri-negeri Semenanjung.
"Saya jawab, kita beri berdasarkan keperluan. (Misalnya) jalan, negeri-negeri lain ada juga lubang tetapi tidak separah Sabah. Maka peruntukan itu lebih (kepada Sabah," katanya dalam sesi town hall bersama pelajar dan alumni universiti di Malaysia Timur hari ini.
Katanya lagi, keadaan tidak bermakna mengagihkan peruntukan secara sama rata seperti "RM1 bilion untuk Selangor dan RM1 bilion untuk Sabah".
"Keadilan itu ertinya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Keadilan itu bukan (pengagihan sumber) sama rata). (Ia berdasarkan) keperluannya," katanya lagi.
Kemiskinan tegar
Perdana menteri mengingatkan yang dia sebelum ini mengumumkan hasrat untuk membasmi kemiskinan tegar tahun ini.
Secara kebetulan, katanya lagi, Sabah memiliki kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia.
"Maknanya peruntukan tertinggi untuk kemiskinan tegar akan disalurkan ke Sabah.
"Ini bukan kerana saya pro-Sabah atau tidak setuju dengan Pulau Pinang," katanya.
Menurut data Jabatan Perangkaan, Sabah mencatatkan kadar miskin tegar tertinggi pada 2019 dan 2020, masing-masing 19.5 peratus dan 25.3 peratus.
Ia disusuli Kelantan dengan 21.2 peratus (2019) dan 12.4 peratus (2020).
Kadar miskin tegar seluruh negara pula 5.6 peratus (2019) dan 8.4 peratus (2020).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai