Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Mengapa dihalau Sam Rainsy dari Malaysia?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KATA MP | Suatu waktu dahulu - pada 1975 - sahabat-sahabatku, pemimpin pelajar Universiti Malaya terpaksa lari ke luar negara untuk menyelamatkan diri daripada ditangkap mengikut undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka terpaksa mencari perlindungan politik atau suaka politik di Eropah. Ia adalah negara "kafir" yang kenal erti kemanusiaan dan belas ihsan - yang menjadi antara asas makna Madani.

Kemudian selama lebih 25 tahun seorang lagi kawanku - seorang pemimpin pembangkang - keluar masuk penjara kerana memperjuangkan keadilan dan reformasi untuk Malaysia tercinta ini.

Kini kawanku itu sedang menjadi perdana menteri kerajaan Madani.

Semasa kawanku itu menjadi tokoh pembangkang di negara ini, dia pernah diberi sokongan kuat oleh masyarakat antarabangsa yang menyokong gerakan demokrasi dalam usaha menentang "kerajaan diktator" perdana menteri keempat Malaysia ketika itu.

Aku pernah ke Kemboja pada 1980-an ketika negara itu baru saja keluar dari konflik perang saudara. Ketika itu rejim Khmer Rouge baru saja ditewaskan.

Raja Norodhum Sihanouk yang menjadi raja Kemboja masih lagi hidup. Hun Sen pula baru saja berkuasa sebagai perdana menteri.

Hun Sen itu memerintah secara "diktator" melalui pilihan raya yang diatur, tidak bersih dan tidak adil. Gerakan demokrasi kemudian bangkit, namun segera ditumpaskan oleh Hun Sen.

Dia kini sudah lebih tiga dekad berkuasa.

Hari ini aku berasa sedih apabila membaca berita bahawa perdana menteri negaraku - yang katanya menjunjung hak asasi dan demokrasi - menghalau tokoh pembangkang Kemboja yang singgah ke negara ini, Sam Rainsy.

Perdana menteri negaraku ini rupa-rupanya telah berjanji dengan Hun Sen sang penguasa Kemboja sekarang.

Aku bersetuju kalau penjenayah-penjenayah perang seperti George W Bush atau Tony Blair yang memerangi dan menghancurkan Iraq dihalau dari Malaysia.

Tetapi aku tidak setuju kalau tokoh politik pembangkang Kemboja seperti Rainsy - yang berjuang untuk perubahan Kemboja secara demokrasi - dihalau sebegitu rupa dari bumi Malaysia.

Malaysia perlu ada suatu dasar luar negara yang progresif, dinamik dan aktif sesuai dengan amalan diplomasi antarabangsa yang berintegriti dan berwibawa.


HASSAN ABDUL KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.