Kes perebutan anak Orang Asli: ‘Lepas tular, barulah bantuan mencurah-curah’
Seorang wanita Orang Asli berdepan kes mahkamah di Kuantan, Pahang, kira-kira 300 kilometer dari rumahnya di Besut, Terengganu.
Semua ini demi mendapatkan hak penjagaan anak tunggalnya daripada bekas suami yang bukan Islam.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Zainal Azman Ab Aziz mengeluarkan perintah arahan tegahan (gag order) kepada semua pihak terbabit dalam kes itu yng tular pada 25 Mei lalu.
Sehubungan itu, Malaysiakini telah mengeluarkan nama-nama yang berkaitan.
Menurut sebuah NGO dari Kuala Lumpur, YY Community Centre memandangkan ibu itu berjuang seorang diri, mereka tampil membuat kutipan dana bagi membiayai kos guamannya.
"Saya difahamkan waktu itu tiada peguam di Terengganu yang bersedia untuk membantu Aisyah selain berdepan dengan masalah kewangan.
“Dan disebabkan isu kewanganlah tak ada peguam yang sanggup wakilinya,” kata pengasas YY Community Centre Yuseri Yusoff ketika diwawancara Malaysiakini semalam.
Pada 25 Mei lalu, mahkamah tinggi memutuskan perintah habeas corpus berpihak kepada bapa kanak-kanak perempuan itu.
Baru-baru ini tular rakaman kanak-kanak itu menangis bersama ibunya yang berpurdah sambil diperhatikan oleh pegawai polis wanita selepas kes mahkamah.
Malaysiakini tidak mendedahkan identiti kanak-kanak perempuan sembilan tahun itu kerana masih bawah umur.
Selain itu ibu dan bapa kanak-kanak tersebut terlibat juga dalam kes hak penjagaan.
Kes mereka dari Rompin itu bagaimanapun masih berjalan di mahkamah.
Ibunya juga membuat laporan polis mendakwa bekas suaminya yang menjaga anak mereka selepas perceraian pada 2018, mengabaikan anaknya. Kes ini juga masih dalam siasatan polis.
Wanita itu memeluk Islam selepas bercerai dan kini memulakan hidup baru dengan suami lain.
YY Community Centre melancarkan tabung bagi membantu ibu itu sebaik sahaja mahkamah memerintahkan anak-anak mereka dijaga sementara oleh bapanya, sementara menunggu kes hak penjagaan selesai.
Yuseri berkata selepas lima hari dilancarkan, kutipan derma dihentikan setelah mencecah angka RM73,830.
"Kita pun dah salurkan kepada sumbangan tersebut kepada peguam-peguam yang terlibat membantu ibu itu ketika dia tidak ada apa-apa.
“Dan atas persetujuan ibunya sendiri saya pun dah serahkan jumlah sumbangan orang ramai itu kepada tiga peguam yang terlibat sebab peguam yang baru ini sepenuhnya diuruskan oleh majlis agama Islam negeri," katanya.
Yuseri berkata jumlah itu sudah mencukupi untuk berdepan kes di Mahkamah Tinggi Kuantan dan mahkamah lebih tinggi selepas ini, jika melibatkan proses rayuan.
Sementara itu, Yuseri berkata mereka bimbang anak Orang Asli itu tidak dibesarkan mengikut cara Islam.
Dia juga meluahkan rasa kesalnya kerana kebajikan mualaf seperti tidak dijaga oleh pihak berwajib.
"Pihak (berkuasa) agama ini bila Orang Asli dah tukar agama ke agama Islam dia tak jaga.
“Jadi, kalau nak keluar agama Islam balik dan timbul hal-hal sedemikian pihak yang tak berkepentingan nak bantu barulah semua nak campur tangan, nak tunjuk prihatin.
"Sedangkan sebelum ini, ibu itu jumpa banyak pihak NGO, semua menolak dengan alasan tak ada peruntukan, saya pun pelik, sedangkan dia tahu ini soal akidah.
“Itulah kita agak terkilan di situ," katanya.
Kata Yuseri, bantuan hanya mencurah-curah bila dia yang juga pempengaruh menularkan video itu di media sosial.
"Bila kita ketengahkan isu ini tiba-tiba menjadi tular ramai yang cuba menghulurkan bantuan termasuk bantuan guaman.
“Pihak yang ibunya sendiri berhubung ketika mula-mula mahu memfailkan hak penjagaan anaknya (sebelum ini) juga muncul," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai