Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah syarikat mohon batal tuduhan kes rasuah RM7.5 juta terkait Annuar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang pengarah urusan syarikat sedang berusaha untuk membatalkan pertuduhan rasuah terhadapnya membabitkan tawaran rasuah RM7.5 juta yang dikaitkan dengan menteri komunikasi dan multimedia ketika itu Annuar Musa.

Pengarah Urusan Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (gambar, judul) melalui peguamnya daripada firma Chetan Jethewani & Company, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengenai bantahan awal (PO) terhadap pertuduhan itu.

Pada 5 April lalu tertuduh di hadapan hakim mahkamah jenayah Suzana Hussin meminta dibicarakan bagi kes rasuah menawarkan sogokan sebagai dorongan untuk Annuar mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Menurut salinan surat tertuduh kepada mahkamah yang dihantar melalui e-mel dua hari lalu, pasukan peguam Abdul Hamid berhujah bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 adalah 'cacat', berikutan pertuduhan tidak mendedahkan kesalahan di bawah peruntukan tersebut.

“Oleh itu, pertuduhan terhadap anak guam kami gagal menunjukkan sebarang kesalahan di bawah undang-undang dan menyebabkan ia menjadi pertuduhan tidak berasas,” hujah peguam itu.

Pasukan undang-undang Abdul Hamid juga berhujah bahawa pertuduhan itu 'cacat' kerana tidak mendedahkan tarikh tertentu bagi kesalahan yang didakwa, yang merupakan pelanggaran terhadap seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Di bawah undang-undang, mana-mana bantahan awal (PO) yang berjaya atas hujah pertuduhan tidak berasas akan membawa kepada mahkamah jenayah membatalkan pertuduhan jenayah terhadap tertuduh.

Semasa sebutan kes hari ini, Suzana menetapkan 18 Julai untuk penjelasan dan keputusan mengenai bantahan awal oleh Abdul Hamid.

Hakim juga mengarahkan pasukan pembelaan memfailkan hujahan bertulis mereka selewat-lewatnya pada 19 Jun dan supaya pihak pendakwaan memfailkan sebarang jawapan selewat-lewatnya pada 3 Julai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdun Jumaat.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamid, yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi penyelenggaraan Menara KL, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Annuar melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.

Dia didakwa membuat tawaran itu antara Julai dan Ogos tahun lepas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Mahkamah jenayah itu telah membebaskan Abdul Hamid (gambar, atas) dengan ikat jamin RM50,000 dan memerintahkan dia melaporkan diri di ibu pejabat SPRM di Kuala Lumpur setiap dua bulan sekali, mulai Mei, sehingga kes selesai. Dia juga diarahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan telah menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur daripada sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia.

Dilaporkan juga bahawa Telekom Malaysia berkata ia memutuskan untuk tidak terus memegang konsesi untuk menguruskan Menara KL kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya, iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

Sementara itu, di hadapan Mahkamah Sesyen lain di Kuala Lumpur, Hakim Rozina Ayob menetapkan 5 Julai ini untuk mendengar dua permohonan berasingan yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah serupa terhadap Hydroshoppe di bawah Seksyen 17(A)(1)(a) Akta SPRM.

Satu permohonan daripada pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah terhadap Hydroshoppe dari mahkamah hakim Rozina ke mahkamah hakim Suzana.

Ini supaya hakim Suzana dapat bersama-sama mendengar pertuduhan syarikat terhadap kes Abdul Hamid.

Selain itu, pasukan pembelaan Hydroshoppe (peguam yang sama mewakili Abdul Hamid) memohon mahkamah supaya kes itu ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian kes rasuah terhadap Abdul Hamid.

Pendakwaan dalam kes terhadap syarikat itu juga dikendalikan oleh Mahadi.

[Baca berita asal]