Skip to main
Logo Malaysiakini

MP DAP pertimbang saman fitnah pesuruhjaya PAS P Pinang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer memberi amaran kepada Muhammad Fauzi Yusoff bahawa dia akan memfailkan saman fitnah jika pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu tidak memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah.

Amaran itu berhubung ceramah Fauzi di Balik Pulau pada dua hari lalu, di mana dia mendakwa Rayer memberitahu pengundi Melayu dan India di Sungai Pinang yang DAP mampu bertahan walaupun tanpa sokongan mereka.

Dalam rakaman yang disiarkan secara langsung di Facebook Fauzi, dia mendakwa Rayer membuat kenyataan itu ketika mengunjungi mangsa kebakaran dan dia didakwa marah selepas mangsa turut menerima kunjungan wakil PAS sebelum itu.

Menafikan dakwaan itu, Rayer dalam sidang media hari ini berkata dia tidak pernah membuat kenyataan itu dan menafikan dakwaan DAP hanya mengunjungi mangsa selepas mendapat tahu PAS telah berbuat demikian.

"Ustaz Fauzi Yusoff telah buat tuduhan saya pergi ke tempat kebakaran selepas dia pergi.

"Dia dakwa mangsa marah saya kerana kita pergi (buat kunjungan) lewat dan keluarkan kata-kata bahawa tak mahu undi saya lagi.

"(Fauzi mendakwa) kononnya saya keluarkan kenyataan bahawa Melayu dan India tak bagi undi pun tak apa," kata ahli parlimen DAP itu.

Rayer kemudian menyiarkan satu rakaman video berbeza yang menunjukkan dia sedang berbual dengan mangsa kebakaran.

Katanya, Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim tiba di tempat kejadian pada jam 1.30 pagi - sebaik sahaja selepas kebakaran - sementara dia dan beberapa pemimpin lagi ke sana pada jam sembilan pagi.

Katanya, mereka tiba sebelum wakil PAS ke tempat kejadian.

"Dalam video anda boleh lihat saya bercakap dengan mangsa dan bincang bagaimana dapat bantu mereka.

"Kami cadangkan kepada mangsa yang kami akan beri sedikit pampasan kewangan dengan bayar separuh kos baiki rumah mereka," katanya lagi.

Gesa polis siasat

Rayer berkata dia telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Fauzi.

"Saya tahu mereka buat tuduhan ini menjelang PRN Pulau Pinang.

"Saya nak beritahu kepada PAS, jangan main-main. Di Jelutong dan Pulau Pinang, kami (DAP) hulur bantuan kepada semua, tak kira agama, kaum dan fahaman politik.

"Saya harap video ini akan sampai kepada Fauzi dan (dia) tarik balik dan minta maaf. Jika tidak, saya akan failkan saman terhadapnya," kata Rayer, sambil menambah dia berharap polis akan menyiasat perkara itu.

Dalam ceramah tersebut, Fauzi berkata penduduk Sungai Pinang kecewa dengan DAP, terutama Rayer dan pasukannya.

Dia antara lain mendakwa Rayer dan pasukannya hanya berjumpa mangsa kebakaran selepas PAS ke sana.

Dia turut mendakwa seorang pengundi kemudian memberitahunya yang Rayer didakwa marah kepada pengundi Melayu dan India kerana berkata mereka tidak akan lagi menyokong DAP.