Skip to main
Logo Malaysiakini

Tempoh pengajian 44 program dipendekkan kepada 3 tahun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengenal pasti 44 program pengajian di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk dipendekkan tempoh pengajian dari empat tahun kepada tiga tahun.

Menterinya Mohamed Khaled Nordin berkata pemendekan tempoh pembelajaran itu akan dapat membantu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung oleh pelajar.

“Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di Kuala Lumpur hari ini.

Khaled berkata langkah berkenaan adalah usaha berterusan KPT dalam mengemas kini dan menyusun program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.

Pada sidang media selepas majlis penutupan itu, dia berkata pemendekan tempoh pengajian itu hanya melibatkan program dan jurusan IPTA yang bermula tahun ini.

Menyentuh inisiatif baru kementerian itu dalam meningkatkan minat serta akses ke IPT, Khaled berkata sebanyak 95 program pengajian ijazah sarjana muda daripada 19 universiti awam bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan sesi akademik 2023/2024.

Katanya, ini adalah selaras dengan cadangan KPT untuk memperkenal sistem pembelajaran hibrid dan anjal bagi para pelajar menghadiri kuliah di universiti pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.

“Pada tahun-tahun di pertengahannya, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas. Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja,” katanya.

Mengulas Program Pembangunan Siswa Sulung (Sulung) yang mula dilaksanakan tahun lepas, dia berkata 10,000 mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya daripada yuran pengajian di semua 20 universiti awam.

“Inisiatif ini akan memberi implikasi kewangan keseluruhan kira-kira RM30 juta kepada semua universiti awam,” katanya.

Program Sulung diperkenalkan KPT bertujuan untuk memberikan peluang dan kemudahan kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40 melanjutkan pengajian ke menara gading.

-Bernama