Skip to main
Logo Malaysiakini

'Panggil saya Kit saja' - kata Lim lepas terima gelaran 'Tan Sri'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun dianugerahkan gelaran Tan Sri hari ini, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang berharap orang yang mengenalinya kekal memanggilnya sebagai "Kit".

dalam hantaran Facebook selepas acara penganugerahan di Istana Negara pagi ini, Lim turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang mengucapkan tahniah kepadanya.

"Terima kasih semua atas ucapan tahniah. Saya tetap harap semua panggil saya Kit sahaja," katanya dalam hantaran ringkas itu.

seramai 839 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain Lim, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan mantan Menteri Besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat turut dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Lim Hui Ying dan Lim Kit Siang

Dalam satu hantaran berbeza, anak Lim iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hyui Ying berkongsi gambar mereka di Istana Negara.

"Prestasi dan sumbangan ayah yang luar biasa kepada dunia politik negara terbukti setelah dikurnia gelaran Tan Sri oleh Yang Di-Pertuan Agong.

"Ini adalah hasil dari kerja keras dan dedikasi yang tidak kenal erti putus asa demi negara tercinta," katanya.

Menyifatkan bapanya sebagai sumber inspirasi, Hui Ying berkata pengaruh Lim tidak hanya dalam kalangan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata anugerah tersebut adalah pengiktirafan yang sangat bermakna kepada DAP dan penghormatan atas sumbangan Lim dalam sistem demokrasi negara selama lebih 57 tahun.

"Walaupun dia tidak pernah menjadi anggota pentadbiran dalam kerajaan persekutuan, sumbangan dan peranannya sebagai ketua pembangkang di Parlimen selama 29 tahun amat penting dalam menyuburkan sistem demokrasi kita," katanya.