Skip to main
Logo Malaysiakini

Terserah pada AG ambil tindakan ke atas Sanusi - PM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia menyerahkan sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Bercakap ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) hari ini, Anwar menyifatkan dakwaan menteri besar Kedah itu sebagai "tidak bertanggungjawab" dan mengesahkan beberapa laporan polis telah dibuat, termasuk di bawah Akta Hasutan.

"Saya serah sepenuhnya pada AGC untuk ambil tindakan sesuai," katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung dakwaan itu.

Anwar berkata status Pulau Pinang sebagai negeri, terpisah dari Kedah, telah selesai sebelum kemerdekaan, ketika pemerintahan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Sir Badlishah Abdul Hamid Halim Shah, dan sejak itu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Semua undang-undang perjanjian (yang ditandatangani dengan British) terbatal.

"Kalau pun (ada) satu permohonan dari Almarhum Sultan Badlishah pada 1956, (ia untuk) British mempertimbangkan untuk penduduk Seberang Perai putuskan untuk kekal dengan Pulau Pinang atau sertai Kedah," katanya.

Kata Anwar lagi, perjanjian paling mutakhir untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 kekal sebagai asas peruntukan perlembagaan semasa.

"Kenapa perkara ini dibangkitkan? sebab pilihan raya negeri...Kita telah merdeka lebih enam dekad, (isu status Pulau Pinang) tak pernah dibangkitkan kecuali (sekarang oleh) pemimpin tak bertanggungjawab," katanya lagi.

Pada mulanya beberapa ahli parlimen pembangkang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menghalang Lim daripada bertanyakan soalan itu, yang didakwa mereka mengandungi tanggapan negatif.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun membenarkan Lim meneruskan pertanyaannya, dengan berkata dia tidak mendapati ada unsur tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mempertahankan Sanusi daripada gesaan agar tindakan diambil terhadapnya, dengan menyatakan perlu ada "perbincangan akademik" berkenaan perkara itu.

Pada 1 Jun lalu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Sanusi dan Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata kes itu disiasat dibawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.