Skip to main
Logo Malaysiakini

Hakim tarik diri dengar semakan kehakiman kes kematian Beng Hock

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hakim Amarjeet Singh (gambar, bawah) telah menarik diri untuk mendengar semakan kehakiman daripada ibu bapa Teoh Beng Hock yang memohon mahkamah memerintahkan polis menyelesaikan siasatan lama terhadap kematiannya hampir 14 tahun lalu.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi berkata Amarjeet memutuskan untuk menarik diri semasa pengurusan kes tuntutan undang-undang itu pagi ini.

“Ya, (Amarjeet) baru sahaja menarik diri (semasa pengurusan kes di kamar Amarjeet).

“Pengurusan kes seterusnya adalah pada 10 Julai di hadapan hakim (baru) Wan Ahmad Farid (Wan Salleh),” kata wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika dihubungi selepas pengurusan kes.

Ketika dihubungi pagi ini, peguam bagi pihak keluarga Sangeet Kaur Deo mengesahkan penarikan diri hakim berkenaan.

Kata Sangeet (gambar, bawah), penarikan Amarjeet kerana dia terlibat dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) selaku wakil AGC ketika itu berhubung kematian Beng Hock.

Selepas berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, Amarjeet telah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2019 dan kemudian sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada tahun lepas.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran merit semakan kehakiman. Walau bagaimanapun, prosiding kemudiannya bertukar menjadi pengurusan kes.

Pada 16 Jun tahun lepas, mahkamah sivil memberi kebenaran kepada ibu bapa si mati - bapa Teoh Leong Hwee dan ibu Teng Shuw Hoi - untuk meneruskan semakan kehakiman.

Pada 4 Jan tahun lalu, ibu bapa Beng Hock memfailkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan kegagalan pasukan polis menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian pembantu politik itu.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14.

Pada masa kematiannya, Beng Hock adalah pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan bahawa Beng Hock didorong untuk membunuh diri berikutan soal siasat agresif oleh SPRM.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan kematiannya disebabkan oleh perbuatan "orang atau mereka yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.

Dalam afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman itu, Teng antara lain berhujah bahawa polis gagal menyelesaikan siasatan terhadap kematian anaknya, di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan 2014.

Dia mendakwa polis gagal menyelesaikan siasatan walaupun selepas perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta bantahan orang ramai.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan semakan kehakiman ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka hampir 14 tahun lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi pemberita berkata hakim itu menyatakan demikian semasa pengurusan kes tersebut hari ini.

“Yang Arif (Amarjeet) telah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana beliau pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

“Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 10 Julai ini dan kes ini akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh,” kata Ahmad Hanir.

Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Jan tahun lepas, dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Pada 16 Jun 2022, pasangan itu memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman selepas mahkamah menolak bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

Pasangan berkenaan memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggari Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Permohonan itu difailkan antaranya atas alasan walaupun tiga pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Beng Hock, siasatan didapati belum lengkap kerana berdasarkan surat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bertarikh 21 Sept 2021, Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan kembali kertas siasatan kepada Ketua Polis Negara pada 3 Sept 2021.

Mereka mendakwa kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock telah dikembalikan kepada responden pertama, kedua dan ketiga oleh AGC untuk siasatan lanjut namun ia masih belum dilengkapkan oleh polis walaupun insiden itu berlaku hampir 14 tahun lepas.

Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14 bangunan sama.