'Pakatan Korea Selatan dan AS berasaskan nuklear'
GLOBAL | Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa berkata pakatannya dengan Amerika Syarikat (AS) telah dinaik taraf kepada "pakatan berasaskan nuklear" dalam persetujuan beliau dengan Presiden Joe Biden bagi mengukuhkan komitmen nuklear Washington kepada Korea Selatan.
Yoon membuat kenyataan itu dalam ucapan sempena Hari Peringatan di Tanah Perkuburan Kebangsaan Seoul, merujuk kepada Deklarasi Washington yang diterima pakai pada sidang kemuncaknya dengan Biden di Washington pada April, yang meliputi langkah-langkah untuk mengukuhkan komitmen "pencegahan lanjutan" AS mempertahan Korea Selatan dengan semua keupayaan ketenteraan, termasuk senjata nuklear.
Yoon berkata Korea Utara sedang memajukan keupayaan nuklear dan peluru berpandunya dan telah meluluskan penggunaan senjata nuklear, lapor agensi berita Yonhap.
"Kerajaan dan tentera kita akan mempertahan nyawa dan keselamatan rakyat dengan membangunkan keupayaan padu berdasarkan pakatan Korea Selatan-AS yang lebih kuat berbanding sebelum ini," katanya.
Yoon dan wanita pertama Kim Keon Hee menghadiri upacara pengebumian jasad Kim Bong-hak sebelum upacara Hari Peringatan.
Anggota tentera Kelas pertama itu (PFC) meninggal dunia semasa Pertempuran Bloody Ridge pada September 1951.
Jasad yang dikenal pasti sebagai Kim pada Februari, disemadikan pada Selasa bersama adik lelakinya yang turut meninggal dunia semasa Perang Korea.
Yoon berkata 160,000 tentera Korea Selatan mati semasa perang tetapi mayat 120,000 masih belum ditemukan.
“Kerajaan akan berusaha sehingga semua wira yang terkorban dapat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.
"Kami juga akan terus berusaha untuk membawa balik jasad anggota patriotik yang meninggal dunia di luar negara ketika memperjuangkan kemerdekaan kita.
Yoon berkata kementerian veteran juga telah dinaik taraf kepada status kementerian sepenuhnya pada Isnin.
Beliau juga berjanji untuk menjaga wira negara dengan lebih baik kerana sudah menjadi tanggungjawab negara untuk mengingati dan menghormati wira beruniform, termasuk tentera, pegawai polis dan bomba, yang memberikan khidmat terbaik mereka dalam melindungi negara dan rakyat.
- Bernama-Yonhap
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai