Polis tahan 13 along di Pulau Pinang
Polis menahan 13 individu kerana terbabit dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau along dalam operasi khas yang dijalankan bagi menangani sekali gus membanteras kegiatan tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata kesemua 13 suspek itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Perak susulan operasi khas yang dilancarkan tidak sampai 24 jam semalam.
"Polis menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani dan seterusnya membanteras kegiatan along daripada berterusan di Pulau Pinang dan ia (operasi itu) juga susulan ugutan oleh mereka terhadap saya.
"Justeru, sejumlah 28 pasukan terdiri daripada 112 pegawai dan anggota polis telah ditubuhkan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dalam pasukan khas tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan pihaknya kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes memberi surat amaran serta melakukan ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang.
Acryl dilaporkan berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawainya dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini.
Khaw berkata semua 13 suspek yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
"Operasi besar-besaran memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang haram ini dilakukan secara berterusan dan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap kumpulan along yang terlibat," katanya.
Dalam perkembangan lain, dia berkata pihaknya menerima empat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Menurutnya kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kerana kedua-dua negeri itu tidak mempunyai sempadan, malah Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai