Skip to main
Logo Malaysiakini

Suami Siti Nuramira didenda RM16,000 buat hantaran video jelik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Suami pelawak wanita yang membuka tudung dan menanggalkan baju kurung ketika melakukan persembahan di kelab komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana membuat dan memulakan hantaran video jelik di Instagram dan YouTube, tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhi hukuman itu selepas V Alexander Navin, 39, mengaku bersalah ketika prosiding pengurusan kes tersebut hari ini.

Mahkamah mengenakan denda RM8,000 atau penjara empat bulan ke atas tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ serta YouTube dengan nama profil ‘Alex & Amy @ insta Greenleafyconnoiseur’ pada 5 dan 16 Jun tahun lepas.

Gambar fail.

Alexander Navin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P Vitiya Monisha memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran dengan mengambil kira faktor tindakan tertuduh memuat naik video yang telah mencetuskan ketidakselesaan masyarakat awam.

“Sebanyak 46 laporan polis diterima mengenai video tersebut di seluruh negara, jadi saya mohon hukuman yang dijatuhkan turut mengambil kira faktor kepentingan awam. Hukuman yang diberikan hendaklah menunjukkan bahawa keadilan telah ditegakkan,” katanya.

Peguam R Sivaraj pula memohon hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah di peringkat awal sebelum perbicaraan kes bermula dan dia juga tidak mampu membayar jumlah yang tinggi kerana tidak lagi bekhidmat sebagai pengajar selam bebas.

“Anak guam saya telah memeluk agama Islam pada Julai tahun lepas sebelum berkahwin dengan Siti Nuramira Abdullah pada Disember tahun sama.

“Selepas dituduh, dia tidak mempunyai akaun media sosial dan tidak membuat sebarang kontroversi. Kes ini merupakan bahan topik perbualan hangat dan mendapat liputan media sehingga anak guam saya mengalami perubahan gaya hidup yang drastik disebabkan tindakannya,” katanya sambil menambah Alexander Navin sudah insaf kerana tempoh reman 10 hari dan pengalaman ditahan serta disiasat polis menjadi pengajaran buat tertuduh.

Pada 17 April lepas, Siti Nuramira didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pilihan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut dia seorang muslim yang telah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum bertindak membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu melakukan persembahan di atas pentas.

- Bernama