Skip to main
Logo Malaysiakini

Rancangan tebatan banjir di Klang dilaksana segera - Nik Nazmi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan melaksanakan segera Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai penyelesaian jangka masa panjang bagi masalah banjir di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan penyelesaian jangka masa pendek pula adalah dengan meningkatkan kekerapan penyelenggaraan sistem saliran kawasan tersebut.

“Penyelesaian jangka panjang adalah dengan pelaksanaan segera RTB Sungai Batu Enam, Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar,” katanya ketika membuat lawatan kerja ke kawasan banjir sekitar Bandar Bukit Raja di Klang hari ini.

Lawatan tersebut susulan kejadian banjir kilat pada Ahad lepas di beberapa lokasi di daerah ini yang melibatkan kawasan Pekan Meru dan Bandar Bukit Raja.

Gambar hiasan.

Beliau berkata kawasan yang terjejas di Pekan Meru antaranya Taman Daya Meru, Taman Daya Maju, Jalan Kasban dan Persiaran Hamzah Alang, manakala kawasan Bukit Raja melibatkan Bandar Baru Bukit Raja dan Mutiara Bukit Raja.

“Dilaporkan anggaran 50 hingga 100 rumah terjejas banjir dengan kedalaman 0.1 meter (m) ke 0.5m dan melibatkan perpindahan 20 keluarga,” katanya.

Nik Nazmi berkata kejadian banjir itu disebabkan hujan yang sangat lebat dan berlarutan lebih tiga jam serta bertembung dengan air laut pasang.

Selain itu, menurutnya faktor sistem saliran dalaman yang tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak dan tidak dapat mengalir ke sungai kerana aras air sungai tinggi turut menyumbang kepada berlakunya banjir.

“Pada hari kejadian Ahad lepas, Stesen Telemetri Kampung Perepat, Kapar merekodkan hujan tertinggi hingga 98.5 milimeter(mm) menyebabkan status aras air Sungai Binjai, Pekan Meru meningkat hingga 4.38m melepasi aras bahaya iaitu 4.2m pada pukul 12 tengah hari, namun surut sepenuhnya pada 5 petang semalam,” katanya.

- Bernama