Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan beri jaminan harga beras tempatan kekal

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan memberi jaminan bahawa harga beras putih tempatan kekal sekitar RM2.60 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan menetapkan harga tersebut di saat harga beras putih import di pasaran tempatan naik sekitar lima peratus.

"Saya beri jaminan yang naik harga itu adalah beras import yang berkualiti tinggi untuk orang berada…(tetapi) untuk rakyat Malaysia, keadaan beras (tempatan) terjamin di sekitar RM2.60 sekilogram,” katanya di Dewan Rakyat.

Shir Yee bertanyakan langkah diambil kementerian untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya kini sedang meningkatkan usaha untuk mencukupkan pengeluaran beras tempatan termasuk melaksanakan Program Smart Sawah berskala besar.

"Memang sekarang pesawah kebanyakannya dijalankan oleh mereka yang berumur. Dengan konsep berskala besar dan penggunaan teknologi baru, anak muda mula terlibat secara aktif. Misalnya di Kedah kita lihat pemandu dron semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.

"Mereka terlibat secara aktif dalam pertanian dan kita sedang galakkan lagi (penglibatan anak muda ini) dengan memberikan pelbagai insentif," katanya.

Mohamad juga yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras jika terus berusaha dengan cara moden dan baru selain kerjasama dalam kalangan penanam padi.

"Sebelum ini pun, stok beras kita mencukupi walaupun dalam keadaan pandemik. Soal beras ini, tak berlaku kekurangan walaupun kadang-kala ada kekurangan di satu dua tempat," katanya.

Jelas Mohamad, pihak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan kerajaan sentiasa berpadu tenaga untuk memastikan beras mencukupi walaupun ketika suasana sukar.