Skip to main
Logo Malaysiakini

Razman lapor SPRM: Tak ada apa nak sembunyi, kata MB Perak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan yang dibuat Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Razman Zakaria berhubung isu tanah rizab Melayu di Perak.

Menteri Besar Perak itu berkata SPRM pernah menjalankan siasatan beberapa kali sebelum ini berhubung isu yang sama, dan pernah mengambil fail-fail yang berkaitan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak.

"Jadi, kalau ada laporan baru dibuat oleh ketua pembangkang terpulanglah kepada SPRM sebab kita tidak ada masalah.

"Tidak ada apa benda nak kita sembunyikan dan tertakluk kepada siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis akad penyerahan 400 lembu korban sumbangan lima syarikat berkaitan kerajaan negeri bernilai RM2.92 juta Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Kira-kira pukul 10 pagi tadi Razman (gambar, atas) tiba di pejabat SPRM di Ipoh untuk membuat aduan yang berkaitan dengan pengurusan tanah rizab di Perak, dan telah ditemu bual selama hampir dua jam.

Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berkenaan.

- Bernama