Skip to main
Logo Malaysiakini

Bapa, anak perempuan ditemui lemas di tasik Kepong

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang lelaki warga emas dan anak perempuan dewasanya ditemui mati lemas di Tasik Metropolitan Kepong di Kuala Lumpur pagi tadi.

Mayat wanita, berusia 30 tahun, ditemui terapung di permukaan manakala lelaki itu, 72 tahun, tenggelam dua meter ke dasar tasik, kata polis.

Kedua-dua mayat itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan dibawa keluar dari tasik oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang dipanggil ke tempat kejadian pada 10.21 pagi hari ini.

"Kedua-dua mayat tersebut disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh kurang dari satu jam," maklum Ketua Polis Daerah Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari pada satu kenyataan.

Seorang saksi melihat lelaki warga emas itu “mengheret” wanita berkenaan, yang dilihat tidak sedarkan diri, ke dalam tasik itu dan tidak mengendahkan pujukan saksi mata tersebut, kata Ahmad Sukarno.

Kedua-dua dokumen pengenalan diri si mati ditemui di lokasi dan waris mereka telah dimaklumkan.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah terlibat," kata pegawai polis itu lagi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Polis menggesa mereka yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes itu untuk tampil menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999.