Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri Indonesia: Hubungan rapat dengan M'sia jana kemakmuran bersama

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hubungan rapat antara Malaysia dan Indonesia perlu terus dipupuk agar kedua-dua negara dapat menikmati kemakmuran bersama, menurut Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan.

Mengunjungi Malaysia sebagai sebahagian daripada delegasi rasmi presiden Joko Widodo, Zulkifli berkata kementeriannya sedia dengan sokongan terhadap perusahaan kecil Indonesia yang ada potensi untuk memasarkan produk mereka di sini.

"Malaysia dan Indonesia itu satu keping wang yang sama. Kita serumpun.

"Oleh itu persahabatan Malaysia-Indonesia juga dapat membuat kemakmuran bersama," katanya selepas melancarkan DoMart, kedai serbaneka baru di Setapak, Kuala Lumpur yang khusus menjual produk dari Indonesia.

"Dengan ekonomi dan perdagangan bertumbuh, kedua-dua pihak akan menikmati kemakmuran," katanya lagi.

Pada masa sama, Zulkifli berkata Jokowi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka bukan saja membincangkan isu berkaitan perdagangn dua hala, tetapi kerjasama untuk berdepan larangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap import produk yang melibatkan pembersihan hutan.

"Saya kira sangat tidak adil kerana undang-undang mengenai pembasmian hutan turut mengenakan larangan terhadap kopi, lada, getah dan lain-lain," katanya lagi.

Pada bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof, bersama-sama rakan sejawat Indonesia dan delegasi kedua-dua negara, dilaporkan bertemu dengan pemimpin Parlimen dan Suruhanjaya Eropah untuk mengadakan rundingan berkatan terma Peraturan Penebangan Hutan EU yang akan akan dikuatkuasakan.

Pada masa ini, Indonesia dan Malaysia merangkumi kira-kira 85 peratus eksport minyak sawit global, dengan EU menjadi pasaran ketiga terbesar.

Zulkifli berkata lagi, pada masa ini Malaysia antara negara Asean yang menjadi rakan dagang utama Indonesia dengan perdagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga November 2022 dilaporkan mencecah AS$27 bilion (kira-kira M124 bilion).

Tengku Zafrul bersama Zulkifli

Pada Januari lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata ia merupakan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Zulkifli turut menyuarakan penghargaan terhadap peranan perusahaan kecil Indonesia yang berkembang menjadi pengeksport produk ke Malaysia.

Dimyani

Pengasas Domart, Dimyani pula berkata 60 peratus daripada produk yang akan dijual di kedai serbaneka baru itu adalah daripada perusahaan kecil dan sederhana Indonesia, selain jenama ternama seperti Indomie.

Katanya, mreka juga akan membawa budaya jalanan Indonesia menerusi sudut 'Starling' yang akan menjual pelbagai jenama kopi segera tempatan yang biasa dijual oleh peniaga bermotosikal digelar "Starbucks keliling" di republik itu.

Jokowi dan isteri, Iriana Widodo dijadual tiba di Malaysia hari ini, bagi kunjungan rasmi dua hari sebagai balasan kepada kunjungan Anwar ke Jakarta pada Januari lalu.

Sebelum ini, mereka juga telah bertemu di Sidang Kemuncak Asean 2023 yang diadakan di Labuan Bajo, Indonesia pada bulan lalu.