Skip to main
Logo Malaysiakini

Seruan Kristian pada kanak-kanak: Polis digesa bertindak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang pemimpin akar umbi PKR dari Pulau Pinang membuat laporan polis berkaitan penyebaran ajaran Kristian terhadap kanak-kanak di Kampung Muhibbah di Puchong, Selangor.

Nur Mushawwir Hrsikesa Thaitchana Muruthi, yang mendakwa mewakili sayap Pemuda parti-parti kerajaan, menggesa polis bertindak terhadap usaha yang menyasarkan kanak-kanak di rumah pangsa murah ketika ibu bapa mereka berada di tempat kerja.

Katanya, tindakan itu boleh mengancam keharmonian masyarakat, terutamanya jika merebak kepada keluarga Islam.

“Kita tidak mahu perkara itu menggugat keharmonian beragama di Malaysia,” katanya yang juga  ketua Pemuda PKR Tasek Gelugor.

Dia berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, malam tadi.

Mushawwir berkata, dia memutuskan untuk membuat laporan polis selepas menerima video melalui aplikasi WhatsApp yang menunjukkan kumpulan orang Kristian berdakwah kepada kanak-kanak bawah umur.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, dia mendakwa kumpulan itu melakukan perkara itu walaupun mengetahui bahawa kanak-kanak itu beragama Hindu.

Kanak-kanak berkenaan, katanya, memakai vibuthi (abu suci yang digunakan dalam amalan Hindu) di dahi mereka.

“Tujuan kami membuat laporan polis bukanlah untuk menuding jari terhadap mana-mana kumpulan agama atau individu, seperti yang kita tahu Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kebebasan beragama.

"Tetapi berdakwah, menyebarkan atau menukar agama kanak-kanak bawah umur adalah satu kesalahan,” katanya lagi.

Mushawwir mengakui tiada undang-undang yang menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang bukan Islam.

Namun, katanya, penukarkan agama seseorang yang berumur 18 tahun ke bawah memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga.