Skip to main
Logo Malaysiakini

PAU labuh tirai: Kembalikan keyakinan Melayu jadi topik utama

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PAU 2023 | Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 menutup tirainya petang tadi dengan ucapan penggulungan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Pada PAU 2022 yang diadakan Jan lalu, kedudukan Zahid dan Mohamad Hasan jelas sudah tidak dapat dicabar lagi apabila perwakilan mengundi resolusi usul tiada pertandingan jawatan presiden Umno dan timbalannya pada pemilihan parti akan datang.

Namun, PAU kali ini yang diadakan sejak kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu, membincangkan kelangsungan masa depan Umno secara meluas oleh pemimpin dan ahlinya.

Dilaporkan sebanyak 7,000 perwakilan dari seluruh negara berkampung, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selama empat hari berbahas dan menyuarakan idea dengan satu matlamat bahawa mengembalikan keyakinan Melayu kepada parti itu.

Zahid dalam ucapan dasarnya menegaskan meskipun parti itu kini sebahagian daripada gabungan baru dalam kerajaan, identitinya sebagai pembela Melayu dan Islam kekal kukuh.

Umno tidak akan pernah berpaling tadah, tegas Zahid ketika mengkritik bekas sekutu PAS yang membelakangkan pakatan "Muafakat Nasional" dengan Umno yang memihak kepada Bersatu pada 2020.

Walaupun Zahid mengkritik pihak di luar kerajaan perpaduan, ramai pemimpin dan perwakilan Umno lebih berminat untuk membincangkan masalah dalaman parti.

Lantaran itu, perbahasan perwakilan PAU 2023 mengambil nada yang lebih introspektif, bermuhasabah diri dan tidak menyerang saingan politik.

Paling utama dalam senarai kebimbangan adalah keupayaan Umno untuk memenangi kembali teras sokongan Melayu yang telah hilang pada PRU15 lalu, dan bagaimana sekali lagi Umno boleh bangkit sebagai kuasa politik yang dominan dalam kerajaan.

Antara lain, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros telah memberi amaran bahawa tiada alasan untuk orang Melayu memilih Umno jika ia hanya bertindak sebagai parti penyokong dalam mana-mana kerajaan.

Dalam pada itu, Ketua Umno Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata ramai di kalangan ahli masih tidak jelas mengenai hala tuju parti selepas PRU15, dan pemilihan Umno yang menyaksikan tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Tindakan Umno memecat atau menggantung beberapa pemimpin terkemuka juga menyaksikan ada antaranya menentang parti itu dalam pilihan raya negeri akan datang.

Momentum Bossku

PAU kali ini juga merupakan yang kedua tidak dihadiri oleh bekas presiden Najib Razak yang digelar 'Bossku' di kalangan pengikutnya.

Setiap kali, nama Najib disebut, laungan "Bebas Bossku" dan "Hidup Bossku" bergema di Dewan Merdeka.

Perwakilan membawa sepanduk yang tertulis 'Bebaskan Bossku' sebagai tanda solidariti kepada bekas perdana menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara.

Sayap pemuda juga memberi anugerah Tokoh Pemuda Umno Malaysia kepada bekas presiden parti itu bagi menghargai pengorbanannya.

Trofi anugerah buat Najib itu disampaikan oleh Akmal kepada anaknya, Nizar Najib dan adiknya Nazifuddin Najib bagi pihak keluarga.

Pada majlis itu, kedua-dua mereka tidak dapat menahan diri daripada sebak dan menitiskan air mata.

Satu rakaman video turut ditayangkan kepada perwakilan Pemuda Umno yang menceritakan sejarah dan rekod khidmat Najib sepanjang berkecimpung dalam politik.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nizar berkata keluarganya berharap momentum bagi membebaskan bekas perdana menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara tidak akan berhenti.

Menurutnya, ada penyokong Umno melahirkan rasa merasa risau dengan keadaan ayahnya yang masih meringkuk di Penjara Kajang.

Katanya,ahli keluarganya menyerahkan kepada kepimpinan Umno untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha membebaskan bekas ahli parlimen Pekan itu.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Selain itu, DAP juga mencuri tumpuan pada PAU kali ini, ekoran Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh (gambar, atas) dalam ucapan dasar menuntut parti sekutu dalam kerajaan pusat, DAP memohon maaf kepada Umno secara terbuka untuk melembutkan hati ahli Umno.

Akmal berkata kritikan yang pernah dilemparkan oleh DAP terhadap Umno sebelum ini mengguris hati semua ahli parti itu.

Kenyataan Akmal menerima pelbagai reaksi apabila Zahid berkata isu mohon maaf tidak timbul kerana ianya telah diselesaikan ketika kerajaan perpaduan ditubuhkan.

Kata Zahid, kerjasama Umno dalam kerajaan perpaduan bukan sekadar dengan DAP sahaja, malah lebih kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) melibatkan PKR dan Amanah.

Pada masa yang sama, timbalannya Mohamad Hasan mempunyai pandangan berbeza apabila dia menyambut baik seruan sayap Pemuda Umno agar DAP meminta maaf daripada parti itu.

Katanya, sebagai sebuah parti dalam kerajaan, DAP seharusnya berbesar hati menerima saranan berkenaan.

Namun, beberapa perwakilan yang ditemubual oleh Malaysiakini berkata perkara ini tidak perlu dibangkitkan kerana kedua-dua parti kini berada dalam kerajaan yang sama.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang hadir majlis perasmian PAU 2023 juga berpendapat bahawa dia bersetuju dengan kenyataan Zahid bahawa kedua-dua parti itu perlu bergerak maju ke hadapan dalam mengeratkan kerjasama pada masa akan datang.

Umno dan DAP yang merupakan seteru politik hampir lima dekad kini menjadi rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan penggulungan PAU2023, Zahid menyatakan keterbukaannya untuk mempertimbangkan semula status pemimpin yang dipecat dan digantung parti.

Tapi, ahli parlimen Bagan Datuk itu mengingatkan kesetiaan mereka akan diuji berdasarkan tindakan mereka pada masa hadapan.

Zahid juga kemudian mengesahkan bahawa tiada seorang pun pemimpin atau ahli yang dipecat daripada parti membuat rayuan untuk menyertai semula.

Pada PAU 2023 ini, Umno mula menyedari bahawa Melayu sudah tidak lagi memerlukan 'bantuan' Umno, sebaliknya parti itu yang memerlukan 'bantuan' Melayu untuk kembali ke tampuk kekuasaan politik.